Ahli UMNO Diseru Terus Istiqamah, Benteng Pelihara Islam, Bangsa Dan Tanah Air

JEMPOL, 26 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir mengajak orang ramai khususnya ahli-ahli UMNO untuk terus istiqamah dalam tekad parti yang menjadi benteng dan pemelihara kepada agama Islam, kepentingan bangsa dan kedaulatan tanah air.

Katanya, pelbagai isu sensitif yang menyentuh kesucian agama Islam sehingga menimbulkan polemik perkauman tidak boleh dibiarkan berpanjangan sebaliknya usaha memperkukuh perpaduan dan sifat saling hormat menghormati perlu diaplikasi.

“Demi memelihara keharmonian, kerukunan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama yang sudah lama terbina di negara ini, maka sewajarnya isu-isu mutakhir yang kita lalui sekarang ini dijadikan sebagai sempadan dan pengajaran penting supaya tidak berulang kembali,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian susulan menyokong keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Jumaat lalu yang mendukung penuh titah Yang di-Pertuan Agong agar tindakan keras diambil kepada mana-mana pihak didapati terlibat dalam usaha meremeh dan memperlekeh kalimah Allah.

Apa yang pasti ujar Mohd Zaidy, pengukuhan dalam kalangan anggota UMNO sendiri amat penting bagi membentuk kekuatan lantas berdamping dengan masyarakat yang terdiri dari pelbagai bangsa bagi memberi kefahaman.

“Kita dalam UMNO amat prihatin dengan isu-isu semasa malah perkara yang mampu mencetuskan suasana ketidakharmonian dalam masyarakat mesti dikekang dan ditolak.”

Dalam perkembangan semasa, beliau memaklumkan bahawa kepimpinan di akar umbi sentiasa menggunakan ruang dan peluang bagi memperkukuh perpaduan terutamanya dalam bulan Ramadan.

“Sebagaimana di Bahagian Jempol, ahli Parlimennya Datuk Shamshulkahar Mohd Deli telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan solat terawih baru-baru ini yang kesemua persediaannya dilakukan secara gotong-royong oleh Wanita UMNO Bahagian Jempol.

“Bermula dari awal pagi, penyediaan sebanyak 1,100 bekas bubur lambuk dibuat untuk disampaikan kepada para tetamu pada sebelah malam selain agihan kepada masyarakat di dalam Parlimen Jempol.

“Inilah suasana tradisi kekeluargaan yang mengikat kita dari zaman berzaman malah perlu kita terapkan setiap masa kerana selain memudahkan urusan kerja yang dilaksana secara bersama, ia juga mengikat silaturrahim lebih kukuh.”

Mohd Zaidy juga merakamkan penghargaan atas pengumuman peruntukan sebanyak RM200,000 untuk pembangunan DUN Kawasan Jeram Padang manakala Surau Kampung Baru Rompin juga turut menerima peruntukan sebanyak RM28,000.

“Terima kasih saya ucapkan kepada ahli Parlimen Jempol kerana sentiasa prihatin dan cakna dengan keperluan masyarakat di DUN Kawasan Jeram Padang.”
Dalam program terbabit, seramai 50 orang asnaf dari kawasan DUN Jeram Padang turut menerima bantuan.

“Terima Kasih kepada Datuk Shamshulkahar di atas sumbangan dan kehadiran. Terima kasih juga saya ucapkan kepada barisan kepimpinan Surau Kampung Baru Rompin, JPKK, KRT, Wanita UMNO Bahagian Jempol, UMNO Cawangan Rompin dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) yang telah bertungkus lumus membantu program bersama rakyat sehingga selesai dengan jayanya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.