Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum 1 Mei - PM - Kosmo Digital

Cadangan tambah baik gaji penjawat awam diumum 1 Mei – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam hari ini.

PETALING JAYA – Cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan Hari Pekerja Mei nanti.

Perdana Menteri itu berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 yang diadakan sebentar tadi hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 3 Tahun 2024 hari ini bagi membincangkan secara lebih lanjut berhubung struktur gaji penjawat awam.

“Alhamdulillah, mesyuarat hari ini hampir memuktamadkan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam, yang seterusnya akan diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Saya ingin tegaskan komitmen Kerajaan untuk menyelesaikan usaha menambah baik struktur gaji penjawat awam yang dilaksanakan menerusi Kajian SSPA, disebalik ekonomi negara yang mencabar kesan ketidaktentuan geopolitik dunia,” jelas Anwar di laman media sosial rasmi beliau hari ini.

Katanya, kerajaan mengambil pendirian dan tanggungjawab tersebut dengan mengambil kira tekanan kos sara hidup bagi penjawat awam terutamanya yang berpendapatan rendah.

“Insya-Allah, cadangan penambahbaikan termasuk usaha meningkatkan kadar pendapatan bersih penjawat awam akan saya umumkan pada perhimpunan Hari Pekerja nanti.

“Semoga usaha ini menjadi motivasi buat penjawat awam untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI