Ronaldo sumber inspirasi Gordic | Bola | Berita HarianRonaldo sumber inspirasi Gordic | Berita Harian
Khamis, 28 March 2024 | 2:27pm
Penyerang baharu Kedah, Milos Gordic sebaik tiba di Alor Setar semalam. – Foto NSTP/Izzali Ismail
Penyerang baharu Kedah, Milos Gordic sebaik tiba di Alor Setar semalam. – Foto NSTP/Izzali Ismail

Ronaldo sumber inspirasi Gordic

ALOR SETAR: Penyerang import baharu Kedah Darul Aman, Milos Gordic mendapat inspirasi untuk meledak gol daripada bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo yang juga pemain idolanya.

Pemain Serbia berusia 31 tahun itu tiba di sini semalam dalam persiapan menjelang Liga Super yang bermula Mei depan.

"Saya memiliki corak dan konsep permainan sendiri tetapi saya meminati cara serangan seperti Ronaldo. Mungkin saya tidak setanding Ronaldo tetapi dengan fizikal saya sepertinya, saya yakin boleh menjaringkan gol sepertinya.

"Semua jurulatih mahukan penyerang menyumbat gol sebanyak mungkin, oleh itu saya perlu bekerja keras dan mendapatkan pedoman daripada jurulatih.

"Saya juga yakin jika pasukan bekerjasama ia mampu menambah ketajaman dalam serangan. Itulah yang saya perlu usahakan menerusi latihan tidak lama lagi," katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim petang semalam.

Gordic yang tiba bersama ejennya dilihat cukup teruja untuk beraksi kali pertama dalam Liga Super.

"Saya amat teruja dan saya lihat Kedah memiliki beberapa nama besar dalam liga tempatan dengan jumlah penyokong yang begitu ramai.

"Saya hadir ke Kedah untuk menjaringkan gol tetapi saya perlukan masa sedikit untuk mencari keserasian bersama rakan sepasukan baharu."