Jurassic World : Dominion ‘agen normalisasi yang tersirat’ · KAYANG POST
Oleh Saiful Nujaimi Abdul Rahman

SEUSAI menonton filem fiksyen sains Jurassic World Dominion untuk kali yang ketujuh di Netflix baru-baru ini, saya terpanggil untuk mengulas mesej dan falsafah filem yang cuba diterapkan ke dalam minda audien secara halus lagi konsisten.

Pertama-tamanya, penontonan sebanyak tujuh kali itu bukanlah kerana taksub terhadap filem francais terkini arahan Colin Trevorrow itu. Sebaliknya bertujuan memperhalusi mesejnya – berbanding kecenderungan masyarakat kini yang cuma pantas mengkritik.

Filem yang mula ditayangkan sejak 2022 itu merupakan sekuel keenam yang berakar daripada filem Jurassic Park (1993) – sebuah adaptasi daripada novel berjudul serupa, tulisan Michael Crichton pada 1990.

Ia kemudiannya diiringi The Lost World: Jurassic Park (1997), Jurassic Park III (2001), Jurassic World (2015), dan kemudiannya Jurassic World: Fallen Kingdom (2018). Sekuel seterusnya yang belum diberikan judul, dijadualkan menemui penonton pada 2025.

Filem Jurassic World: Dominion yang dibincangkan ini bukanlah filem pertama haiwan era Jurasik yang disajikan menerusi Netflix. Namun, ia merupakan filem pertama yang menghantar mesej signifikan untuk didiskusikan. Sementelahan pula ia baharu mula ditayangkan pada Ahad 21 April lalu menerusi rangkaian tersebut.

Mesej Jurassic World Dominion berhubung kembalinya penghuni asal itu, sebenarnya begitu sinonim dengan keyakinan bangsa Yahudi terhadap kembalinya mereka menghuni ‘The Promised Lands’.

Mesejnya ialah: ‘Manusia perlu menerima penghuni asal di sesebuah lokasi, apabila penghuni itu telah kembali ke tempat tersebut’. Mesej inilah yang berulangkali dipasakkan dalam minda kita sepanjang 2 jam 27 minit.

Dalam filem kali ini, manusia dipaksa menerima ‘kepulangan’ haiwan purba untuk menjadi pendominasi semula bumi – sepertimana 65 juta tahun dahulu. Manusia dianggap ‘pendatang’ yang wajib menyerahkan semula bumi ini kepada haiwan-haiwan tersebut.

Bagaimanapun, sesuai dengan prinsip demokrasi yang dijulangi Barat, spesies manusia yang dikategorikan sebagai ‘pendatang’ dipaksakan bertoleransi dan berasimilasi bersama haiwan gasar itu. Meskipun hampir kesemuanya bertindak sewenang-wenang.

Mesej Jurassic World Dominion berhubung kembalinya penghuni asal itu, sebenarnya begitu sinonim dengan keyakinan bangsa Yahudi terhadap kembalinya mereka menghuni ‘The Promised Lands’ – yang juga digelar ‘The Pride Lands’, satu hari kelak.

Ekoran itu, secara konsisten para pengusaha gedung-gedung filem Barat (terutamanya Hollywood) menerapkan rasional berhubung kepulangan bangsa tersebut ke Tanah Kan’an – seperti yang diajar oleh para rabai mereka menerusi kitab Taurat, Talmud, dan Habakkuk.

Hakikatnya lokasi Tanah Kan’an masih diperdebatkan oleh pelbagai sarjana antarabangsa, termasuklah dalam kalangan bangsa Yahudi sendiri, sehingga kini.

Misalnya jika merujuk kepada Wikipedia, sempadan utaranya bermula dari Lubnan, mengunjur ke selatan sehingga ke sebuah sungai kecil di Utara Mesir. Manakala timurnya bermula dari Lembah Jordan membawa ke Laut Mediterranean, yang merangkumi seluruh pesisir pantai Phoenicia, hinggalah ke hulu Laut Galilee.

Apabila Genesis 10 (ayat 15–19) dirujuk, ia mencatatkan pula seperti berikut: “Later the Canaanite clans scattered, and the borders of Canaan reached from Sidon toward Gerar as far as Gaza, and then toward Sodom, Gamorrah, Admah and Zeboiim, as far as Lasha”.

Namun bersandarkan kupasan ‘Ali Akbar menerusi bukunya, Israel and the Prophecies of the Holy Qur’an(1963), bangsa itu turut mahu menduduki semula Kota Madinah – meskipun secara terang-terangan dunia merakamkan mereka cumalah pendatang.

Hasrat itu, menurut ‘Ali, bakal dijayakan menerusi pendudukan semula Wadi Mudzaineb di utara Madinah (bekas penempatan Bani Nadhir), juga di barat daya (tinggalan Bani Qainuqa), dan pastinya Kota Khaibar (tinggalan Bani Quraizah).

Tegasnya pada lensa minda bangsa tersebut, tanah yang dijanjikan Tuhan kepada mereka merangkumi seluruh perlembangan subur negara Jordan, Palestin, Syria, Lubnan, Utara Mesir, dan termasuklah Kota Madinah.

Inilah yang dijadikan matlamat oleh bangsa Yahudi pada setiap zaman dan generasi. Mereka memateri keyakinan bahawa mereka adalah ‘God’s chosen nation’. Iaitu sebuah frasa yang menganugerahkan pemilikan status istimewa di sisi Tuhan – lantaran frasa tersebut berulangkali tercatat dalam lembaran kitab-kitab suci mereka.

Advertisement

Sekaligus, rasa istimewa itu menjadikan mereka memandang bangsa lain sebagai bangsa rendahan sahaja – yang halal untuk diperbudakkan pada sebarang keadaan dan zaman. Lalu mereka memanfaatkan medium filem sebagai senjata terampuh dalam menyebarluaskan pengaruh dan matlamat mereka sejak sejarah perfileman bermula lagi.

Ironisnya, amat sedikit dalam kalangan masyarakat dunia kini yang melatih diri memahami mesej dan falsafah setiap filem yang ditonton. Maksudnya, tidak ramai yang menjadi ‘pembaca filem’. Yang ramai cumalah golongan ‘penonton filem’ – sekadar berhibur. Walhal tanpa sedar mereka diperdayakan.

Modus operandi bangsa Yahudi dan pendokongnya itu sebenarnya sangat mudah. Ia bermula dengan mencipta kontroversi, yang kemudiannya dipopularkan oleh para selebriti. Seterusnya, sesiapa yang mengikuti kontroversi itu akan memperoleh ganjaran wang, harta, dan kemasyhuran – yang kini dipanggil ‘influencer’.

Lihatlah budaya berpakaian bikini, misalnya. Jika dahulu dalam novel-novel Melayu, perempuan yang mandi secara berkemban sudah dianggap erotis. Hari ini tiada siapapun yang akan mengecam novelis menulis berhubung wanita mandi berkemban lagi.

Secara beransur, satu persatu ahli masyarakat menjadi lali dan seterusnya menganggapnya sebagai normal – lalu diangkat menjadi norma dan budaya. Hatta sesuatu kesalahan sekalipun, boleh menjadi kebenaran setelah dinormalisasikan sebegitu.

Walhal menurut pendidik tersohor Amerika Syarikat, Brooker T. Washington (1856–1915): “A lie doesn’t become truth; wrong doesn’t become right; and evil doesn’t become good – just because it’s accepted by a majority”.

Usah pantas melabelkan golongan yang terpedaya itu sebagai hanya mereka yang berpendidikan rendah. Sebaliknya ia diwakili majoriti golongan intelektual ketika ini, yang terdiri daripada pendidik dan pembuat dasar sesebuah organisasi.

Colin Trevorrow pengarah Jurassic World Dominion

Ciri-ciri kelompok ini amat mudah dikenali. Mereka lazimnya menyarankan supaya ‘don’t over-thinking”terhadap sebarang isu yang dihadapkan ke muka mereka. Hampir segalanya dianggap perkara yang remeh.

Akibatnya, kerosakan demi kerosakan moral semakin membarah dalam keperibadian generasi baharu – apabila begitu mudah terpengaruh oleh budaya populis. Apa jua yang trendy dan viral dianggap relevan, hanya kerana generasi yang lebih dewasa tidak bersepakat untuk menegurnya.

Benarlah pandangan ahli falsafah Edmund Burke pada 1770: “When bad men combine, the good must associate. Else, they will fall one by one – an unpitied sacrifice in a contemptible struggle”.

Dalam erti kata yang mudah, sebarang kemungkaran akan pantas menular sekiranya kita yang masih memiliki pegangan agama, prinsip moral, dan nilai terpuji memilih untuk berdiam – dengan bersandarkan apa juga alasan yang memualkan.

Menyorot semula hasrat bangsa Yahudi untuk kembali menguasai Tanah Kan’an, tontonilah kembali filem animasi The Lion King (1994) misalnya. Bila mana, secara simboliknya menggambarkan cita-cita anak singa comel bernama Simba, untuk merajai semula The Pride Lands dan menetap kembali di Pride Rock – tanah yang terjanji untuknya.

Demikian jugalah mesej yang diterapkan melalui filem Jurassic World : Dominion (2022). Supaya tatkala sampai ketikanya kelak mereka kembali, kita akan bertoleransi dan berasimilasi dengan mereka – meskipun secara paksa.

Mengapa? Hanya kerana mereka itu bangsa pilihan Tuhan. Mereka adalah pemilik mutlak tanah yang dijanjikan oleh Pemilik Kerajaan Langit. Manakala kita hanyalah ‘pendatang’ yang perlu menyerah untuk diperintah secara berwenang-wenang.

Justeru, wajar peringatkan mesej artikel ini bukanlah menegah sesiapapun menonton filem untuk berhibur. Sebaliknya, ia mendesak supaya, selain berhibur kita perlu sentiasa waspada dalam menerima mesej yang terbimbit bersamanya. Itu sahaja. – KAYANG POST

  • SAIFUL NUJAIMI ABDUL RAHMAN adalah Pensyarah Komunikasi, FBMK UPM, juga mantan wartawan prolifik Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Advertisement
Please follow and like us:

Author / Editor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *