Apa pengundi cuba bagi tahu? | Harian Metro
KEMENANGAN mengindikasikan penerimaan dan kepercayaan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan Barisan Nasional (BN).
KEMENANGAN mengindikasikan penerimaan dan kepercayaan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan Barisan Nasional (BN).

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu (KKB) melabuh tirainya minggu lalu dengan Pakatan Harapan (PH) berjaya mengekalkan kerusi itu.

Di sebalik cakap-cakap politik mengenai gelombang perubahan yang didakwa akan berlaku, pilihan pengundi menunjukkan keputusan sebaliknya dengan peningkatan undi orang Melayu kepada PH.

Untuk Kafe Ahad minggu ini, Penolong Pengarang Berita YUSMIZAL DOLAH ALING mendapatkan Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) MUJIBU ABD MUIS untuk mengulas mengenai faktor penentu untuk memilih Yang Berhormat di kawasan berkenaan.

Secara umum, apa isyarat pengundi pada PRK, baru-baru ini?

Secara keseluruhannya, keputusan PRK di KKB menunjukkan bahawa pengundi mahukan kestabilan, perpaduan dan politik yang tidak berasaskan isu perkauman atau keagamaan. Saya melihat keputusan PRK di KKB memberikan beberapa isyarat penting mengenai pandangan pengundi.

Pengundi di kawasan tersebut menolak kempen yang berasaskan politik identiti dan isu-isu 3R (raja, agama, dan kaum). Ini mencerminkan keinginan pengundi untuk sebuah politik yang lebih matang dan inklusif, serta menjauhi retorik perpecahan.

Kemenangan ini juga mengindikasikan penerimaan dan kepercayaan pengundi terhadap Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada PH dan Barisan Nasional (BN). Peningkatan undi orang Melayu kepada PH yang meningkat kepada 42.7 peratus berbanding 39 peratus dalam PRN Ogos lalu. Peningkatan ini mencatatkan beberapa perkara kalau melihatnya secara mikro dalam konteks pengundi Melayu apabila enam daripada lapan Pusat Daerah Mengundi (PDM) bermajoriti Melayu dimenangi oleh PH yang sebelumnya kalah semua kepada PN dalam PRN lalu. Malah undi awal anggota keselamatan yang majoritinya orang Melayu turut beralih kepada PH, apabila undi kelompok ini yang sebelumnya dikuasai PN merosot daripada 75.3 peratus kepada 14.3 peratus. PH juga berjaya mendapat kembali undi kelompok belia Melayu berusia 31 ke atas berbanding sebelumnya di sebalik PN masih kekal pilihan pengundi muda berusia 30 tahun ke bawah – namun sayang bila kelompok ini paling ramai tidak keluar mengundi menyebabkan PN hilang undi.

Ramai beranggapan, pembangkang akan membuat kejutan, namun sebaliknya. Apakah antara faktor kemenangan PH?

Beberapa faktor menyumbang kepada kemenangan PH walaupun ramai yang menjangkakan pembangkang akan membuat kejutan selepas meletakkan calon Melayu dalam kawasan yang tradisinya sering ditandingi calon bukan Melayu.

Strategi kempen yang efektif – PH berjaya menjalankan kempen yang lebih inklusif dan kurang berasaskan isu-isu perkauman dan agama. Ini menarik sokongan daripada pengundi yang ingin melihat politik yang lebih matang dan harmoni. Bagi kawasan demografi bercampur seperti KKB isu-isu bersifat lokaliti, penawaran yang realistik, ketara dan praktikal lebih memikat pengundi setempat berbanding kempen retorika yang abstrak dan mujarab.

Kepercayaan terhadap Kerajaan Perpaduan – Pengundi di KKB menunjukkan sokongan mereka terhadap Kerajaan Perpaduan atas keyakinan melihat usaha kerajaan dalam memastikan kestabilan dan perpaduan negara. Faktor prestasi semasa seperti menarik pelaburan asing seperti Tesla, Google, Microsoft, dan Boeing, reputasi Anwar dalam isu global Palestin, kenaikan gaji penjawat awam dan beberapa inisiatif lain antara faktor.

Naratif politik identiti Melayu-Islam dilihat sudah tepu untuk diterima dalam kawasan demografi bercampur seperti KKB. Ia hanya berkesan kalau sesuatu kawasan pengundian itu mempunyai pengundi Melayu yang tinggi melebihi 60 peratus. Dalam masa yang sama, naratif tersebut juga sudah mula cair disaingi dengan prestasi kerajaan yang kembali memperlihatkan teras realpolitik berbanding naratif retorik sentimen semata-mata.

DAP sering meletakkan calon muda untuk diketengahkan sebagai pelapis. Bagaimana saudara melihat perkembangan itu?

Secara keseluruhan saya melihat strategi DAP meletakkan calon muda dalam pilihan raya adalah langkah yang proaktif dan dapat membantu memastikan parti itu terus relevan, dinamik, dan berdaya saing dalam landskap politik yang sentiasa berubah. Ia harus dilakukan oleh parti-parti lain atas beberapa faktor.

Penyegaran Kepemimpinan – Calon muda membawa idea-idea baru dan perspektif yang segar kepada politik. Ini membantu memastikan bahawa parti terus relevan dengan isu-isu semasa dan dapat beradaptasi dengan perubahan dalam masyarakat.

Daya Tarik kepada Pengundi Muda – Generasi muda cenderung lebih tertarik untuk mengundi jika mereka melihat wakil-wakil yang berusia sama atau hampir dengan mereka dalam senarai calon. Ini boleh meningkatkan kadar penyertaan pengundi muda dalam pilihan raya.

Pembangunan Kepemimpinan Masa Depan – Dengan memberi peluang kepada calon muda, parti memastikan bahawa mereka mempunyai kumpulan pemimpin yang berpengalaman dan berkemampuan untuk mengambil alih tampuk kepemimpinan pada masa akan datang. Ini penting untuk kelangsungan jangka panjang parti.

Mengatasi Persepsi Politik Lama – Dengan meletakkan calon muda, parti dapat menepis tanggapan bahawa politik adalah domain eksklusif untuk generasi lebih tua. Ini juga boleh membantu mematahkan stereotaip dan memperlihatkan bahawa politik adalah ruang untuk semua peringkat umur.

Mencerminkan Demografi Negara – Dalam negara yang mempunyai populasi muda yang besar, adalah penting bahawa wakil rakyat juga mencerminkan demografi ini. Ini membantu dalam membuat dasar yang lebih relevan dan responsif terhadap keperluan sebenar rakyat.

Apakah isu latar belakang pendidikan, hutang dan serangan peribadi menjejaskan undi kepada calon?

Cara begitu masih relevan?

Ya, ia masih relevan memandangkan faktor calon antara penyumbang terbesar dalam mempengaruhi pengundi. Justeru latar belakang yang baik seperti berpendidikan tinggi, keluarga yang baik, rekod kerjaya yang cemerlang sangat membantu. Namun tindakan melakukan pembunuhan karektor (character assasination) adalah tidak bagus memandangnya ia lebih bersifat peribadi. Ini perkara yang perlu dihentikan walaupun isu latar belakang pendidikan, hutang, dan serangan peribadi sering digunakan dalam kempen politik dan boleh memberi kesan kepada undi buat calon. Namun, relevansi dan keberkesanannya juga bergantung kepada beberapa faktor, termasuk konteks politik, tahap kesedaran pengundi, dan cara isu-isu tersebut diuruskan oleh calon dan parti mereka.

Pada pandangan saudara, apakah momentum kemenangan ini akan berterusan sekiranya ada PRK selepas ini?

Di sebalik kekalahan, PN masih menguasai undi orang Melayu di KKB dan berjaya meningkatkannya daripada 55.4 peratus ketika PRN kepada 56.2 peratus dalam PRK KKB. Begitu juga dengan undi kaum lain di mana PN turut mencatat peningkatan dengan kenaikan 1.4 peratus undi orang Cina, India (3.3 peratus) serta pengundi lain (1.9 peratus). Namun secara keseluruhan peningkatan itu tidaklah signifikan jika dibandingkan secara nisbah dengan PH tetapi asasnya PN juga masih mempunyai sokongan yang baik dan kekal status quo dalam PRK KKB.

Setiap pilihan raya adalah berbeza-beza dan bergantung kepada faktor semasa. Namun faktor demografi harus menjadi angkubah awal yang penting dalam mencongak peluang parti-parti yang bertanding. Bagi kawasan bercampur seperti KKB jelas PH berupaya menang kerana PN masih berpotensi menang kalau demografi pengundi melayu melebihi 60 peratus. Faktor-faktor lain seperti calon, kekuatan jentera parti, strategi kempen, prestasi, isu dan sentimen semasa juga turut menyumbang kepada kemenangan atau kekalahan.

Justeru sekiranya ada PRK selepas ini, setiap parti masih ada peluang untuk menang baik PH mahupun PN. Ia tetap bergantung kepada di mana PRK itu berlaku (melihat kepada penyandang dan demografi kawasan) serta faktor-faktor yang saya nyatakan sebelumnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:30 AM