Malaysia, Uzbekistan perkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan - Kosmo Digital

Malaysia, Uzbekistan perkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mengadakan pertemuan dengan Shavkat.

PETALING JAYA – Malaysia dan Uzbekistan bersetuju memperkukuh hubungan dua hala khususnya berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, selain itu, kedua-dua negara turut akan memperkukuhkan kerjasama dalam sektor pendidikan, tenaga, industri halal, pertanian, pengangkutan, teknologi digital, kesihatan, pelancongan, kebudayaan serta kewangan dan perbankan Islam.

Malah ujar Perdana Menteri, Uzbekistan turut menyatakan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan Petronas dalam sektor hidrogen hijau dan petrokimia, selain latihan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas.

“Presiden Shavkat juga nyatakan cadangan mewujudkan zon perindustrian Uzbekistan-Malaysia, selain kami bersetuju untuk mempermudah dan mempercepatkan prosedur pelaburan antara kedua-dua negara.

“Kami turut bersetuju untuk mengangkat status Jawatankuasa Bersama untuk Perdagangan antara kedua-dua negara menjadi Suruhanjaya Bersama Antara Kerajaan,”katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook.

Anwar berkata, semasa pertemuan dengan Shavkat, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap budaya dan ketamadunan Uzbekistan yang telah melahirkan ramai cendekiawan ulung seperti Imam Bukhari, Imam Tarmizi, Al Biruni, Naqshbandi, Ibnu Sina dan Ibnu Khwarizmi yang telah memberi sumbangan penting dalam dunia Islam.

“Saya turut menjemput Presiden Shavkat untuk datang ke Malaysia, khususnya bagi menyertai Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Kuala Lumpur pada 28 Mei depan.

“Saya amat menghargai perbincangan ini yang telah berlangsung dalam suasana persahabatan, dan ia ternyata telah memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara,”katanya.

Pada pertemuan lebih satu jam itu itu juga, Anwar memberitahu bahawa Presiden Shavkat telah menyatakan penghargaan terhadap ketegasan Malaysia memperjuangkan keadilan buat rakyat Palestin.

Jelasnya, Malaysia dan Uzbekistan berkongsi pendirian mahu melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang bebas dan merdeka.

“Presiden Shavkat juga sambut baik usaha keras dan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia melawan rasuah dan salah guna kuasa, selain menghargai nilai-nilai yang diangkat dalam gagasan Madani,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI