Mesyuarat Cawangan Manifestasi Keistimewaan UMNO, Miliki Akar Umbi Yang Kukuh

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Mesyuarat cawangan manifestasi kepada keistimewaan dimiliki UMNO kerana kekuatan akar umbi yang kukuh, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari.

Beliau berkata, perkara ini terbukti apabila UMNO merupakan satu-satunya parti Melayu terbesar, malah parti-parti lain juga tidak memiliki keahlian parti yang berstruktur seperti parti keramat ini.

“UMNO ini satu parti yang sangat cantik strukturnya… kalau nak dibandingkan dengan parti-parti lain struktur di dalam UMNO ini tidak ada dalam parti-parti lain.

“Tubuhlah parti berapa buah pun memang tak ada struktur yang macam UMNO.

“Kita berstruktur ada cawangan, pusat daerah mengundi, bahagian, perhubungan negeri dan kebangsaan dan sama juga struktur di peringkat Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri. Insya-Allah apabila apa gelombang yang datang UMNO akan terus kekal dan UMNO terus menjadi harapan kepada bangsa Melayu kita untuk bergantung harapan,” katanya.

Rosni yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran berkata mesyuarat yang berjalan pada ketika ini juga dilaksanakan secara harmoni dalam semangat kekeluargaan UMNO.

Malah menurut beliau, pelbagai usul telah dibawa pada mesyuarat cawangan membabitkan kepentingan parti dan rakyat, malah ada juga daripada usul yang menyentuh berkenaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Mesyarat cawangan telah berjalan, saya rasa tidak ada masalah bagaimana kita tahu, cawangan ini memang memandang ke hadapan setiap tahun untuk adakan mesyuarat cawangan.

“Cuma kali ini ada setengah-setengah itu mereka menanyakan boleh tak kita bawa usul untuk bagi sokongan agar Datuk Seri Najib boleh dapat tahanan di rumah, ini juga antara usul yang dibawa cawangan.

“Kehadiran wanita untuk mesyarat cawangan sebagaimana biasa kita tidak ada masalah dan… jadi kita mengharapkan agar Pergerakan Pemuda dan Puteri pun sama,” ujar beliau.

Untuk rekod persidangan Cawangan UMNO telah bermula pada minggu lalu hingga 2 Jun di seluruh negara yang melibatkan lebih 20,000 Cawangan.

Ini akan disusuli mesyuarat peringkat Bahagian, Wanita UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian pada 21 Jun hingga 29 Julai.

Seterusnya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pula akan berlangsung pada 21 sehingga 24 Ogos 2024. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.