BERNAMA - CUEPACS YAKIN SEMUA NEGERI SEDIA SELARAS KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM IKUT PERSEKUTUAN
 AM > BERITA

CUEPACS YAKIN SEMUA NEGERI SEDIA SELARAS KENAIKAN GAJI PENJAWAT AWAM IKUT PERSEKUTUAN

12/05/2024 05:26 PM

KUALA NERUS, 12 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), yakin semua kerajaan negeri bersedia melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam mereka, selaras keputusan kerajaan Persekutuan berhubung pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang baharu dijangka berkuat kuasa Disember ini.

Presidennya Datuk Dr Adnan Mat berkata setakat ini, beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Perak, Selangor, Sabah dan Sarawak, memberi maklum balas positif dan menyatakan kesediaan untuk mengikut langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 1 Mei.

Beliau berkata sebahagian negeri lagi masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk mengkaji perincian kenaikan gaji, sebelum keputusan akhir dapat dibuat.

“Sejarah menunjukkan dari tahun 2000… kenaikan gaji tidak ada rekod satu negeri yang menolak. Mereka hanya menunggu perkara-perkara (perincian kenaikan gaji) dimuktamadkan oleh Persekutuan dan akan disambut baik oleh semua kerajaan negeri.

“Mereka bukan tidak menyambut baik, tetapi soal ini masih awal untuk dibahaskan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Santunan Budi Aidilfitri MADANI CUEPACS Terengganu di Dewan Tok Jiring di sini hari ini.

Pada 1 Mei, Perdana Menteri mengumumkan SSPA yang baharu akan membabitkan kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula 1 Dis tahun ini.

Adnan berkata beliau percaya kerajaan negeri akan mengambil satu pandangan dan menyambut baik pelaksanaan SSPA yang baharu, bagi memastikan kebajikan penjawat awam terbela selain mengelakkan wujudnya jurang yang tidak saksama.

Beliau berkata hal ini terbukti apabila sebelum ini, kerajaan negeri menunjukkan kerjasama baik terhadap ketetapan kerajaan Persekutuan dalam soal pemberian bonus dan bantuan khas Aidilfitri.

“Demi kebaikan dan kebajikan penjawat awam negeri, tidak boleh dalam peringkat ini ada dua tiga kluster perkhidmatan. Perkhidmatan yang sama, jawatan sama tetapi gaji berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata CUEPACS turut berharap kerajaan Persekutuan mengambil kira kenaikan kadar pencen pesara, bagi memastikan kebajikan mereka turut terbela.

Beliau berkata walaupun kadar kenaikannya tidak sama, langkah itu perlu dilaksanakan memandangkan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial