Program TVET kekal dikendali 12 kementerian, agensi | Harian Metro
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Bernama.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Bernama.
Muhamad Lokman Khairi


Bagan Datuk: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kekal dikendalikan 12 kementerian dan agensi kerajaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, kerajaan tidak berhasrat mengehadkan ia kepada tiga pihak bertanggungjawab seperti disarankan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK).

Sebaliknya, beliau berkata, Jemaah Menteri memutuskan supaya Majlis TVET Negara menyelaraskan aktiviti pendidikan TVET agar tidak berlaku pertindihan kursus antara 12 kementerian dan agensi terbabit.

Pengerusi Majlis TVET Negara itu juga memaklumkan ketika ini terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara yang beroperasi dengan lancar.

"Oleh sebab itu, Unit Pusat TVET telah diwujudkan untuk membuka permohonan atas talian untuk kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi TVET yang ada," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Umno Cawangan Empat Peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk di Kompleks Umno di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) pula bertindak memastikan kursus yang ditawarkan universiti teknikal, relevan dengan permintaan pasaran pekerja.

"Kebolehpasaran lepasan TVET pada tahun lalu menunjukkan peningkatan iaitu 94.5 peratus berbanding 93.3 peratus pada 2022.

"Bagi TVET di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) khususnya Mara, kebolehpasarannya turut menunjukkan peningkatan iaitu 99.2 peratus, tahun lalu berbanding 98.5 peratus pada 2022," katanya.

Menurutnya, baki lepasan TVET yang tidak bekerja bukan kerana tidak ditawarkan pekerjaan, namun melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi dalam bidang sama.

Katanya lagi, berdasarkan maklumat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, jumlah permohonan kemasukan pelajar ke Kolej Vokasional turut meningkat dua kali ganda berbanding sebelum ini.

"Ertinya TVET yang dulunya dianggap sebagai pilihan kedua, ramai ibu bapa telah menukar fikiran dan menjadikannya sebagai pilihan pertama disebabkan oleh tawaran pekerjaan oleh sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta.

"Gaji yang ditawarkan pula adalah premium dan ini lebih menarik ibu bapa untuk menggalakkan anak mereka masuk ke institusi TVET," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi JKPK bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilapor mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid bagi menyampaikan cadangan supaya bilangan kementerian dan agensi pengendali TVET dihadkan kepada tiga sahaja.

Pihaknya berpandangan jumlahnya ketika ini terlalu banyak dan mendakwa tidak semua institusi TVET menggunakan akreditasi yang ditentukan oleh Majlis TVET Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 5:13 PM