UMNO perlu atasi kekeliruan akar umbi isu kerjasama dengan PH | Lain-lain (Rencana) | Berita HarianUMNO perlu atasi kekeliruan akar umbi isu kerjasama dengan PH | Berita Harian
Jumaat, 17 Mei 2024 | 2:59pm

UMNO perlu atasi kekeliruan akar umbi isu kerjasama dengan PH

Tanggal 11 Mei 2024 adalah ulang tahun UMNO Ke-78 sejak ia ditubuhkan pada 11 Mei 1946. UMNO sejak penubuhannya sehingga kini tidak asing daripada usahanya memperjuangkan nasib orang Melayu dan dilihat tunjang dalam proses menaikkan nasib bangsa di mata rakyat Malaysia.

Namun, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018, menyaksikan Barisan Nasional (BN) dipimpin UMNO tumbang sebagai kerajaan, mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah pemerintahannya.

Ia satu isyarat jelas daripada rakyat, terutama orang Melayu melihat UMNO bukan lagi parti mampu mereka harapkan untuk membela nasib mereka dan generasi akan datang.

Bagi rakyat, isu kepemimpinan, kepincangan urus tadbir negara dan rasuah, bukan isu terlalu asing. Persepsi rakyat bercampur baur kerana ada kelompok menganggap ia adalah perkara serius yang perlu diatasi segera.

Isu integriti dalam UMNO ini benar-benar menyerap ke saraf rakyat jelata sehinggakan mereka yang di luar bandar, dahulunya penyokong tegar UMNO turut terpengaruh dengan slogan 'Jom Ubah' dan akhirnya sokongan terhadap UMNO dan BN berkurangan sehingga tumpas sebagai parti pemerintah.

Penolakan ini berterusan sehingga UMNO tidak lagi menjadi parti politik utama masyarakat Melayu khususnya jika dilihat pada keputusan PRU15.

Sokongan masyarakat di luar bandar dan akar umbi juga beralih arah kepada Perikatan Nasional (PN) yang dianggap pengganti kepada perjuangan ketuanan Melayu Islam. Persoalannya, adakah UMNO tidak lagi memperjuangkan dan mempertahankan agenda ketuanan Melayu.

Seterusnya penolakan berterusan berlaku disebabkan beberapa pemimpin kanan UMNO dipecat dan digantung keahlian kerana konflik dalaman parti.

Rombakan secara drastik dalam barisan kepemimpinan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) khasnya dan juga gerak kerja parti ini memberi tamparan hebat kepada pemimpin dan juga pengikutnya di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan pusat.

Sebahagian pemerhati melihat 'pembersihan' dalaman UMNO ini perlu dilakukan, namun persoalannya adakah pemimpin UMNO hilang keupayaan menyelesaikan konflik dalaman mereka secara demokrasi.

Namun, kekalahan demi kekalahan UMNO pada PRU14 dan pada PRU15 memberi gambaran berlainan daripada apa dijangkakan.

Kerjasama politik dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini dilihat berjaya memberi nafas baharu kepada UMNO, terutama menaikkan imej sebagai parti pembela Melayu Islam bersama PAS. Namun, hubungan istimewa UMNO-PAS itu berakhir juga.

Selepas PRU15 pula, berlaku keadaan Parlimen tergantung sehingga akhirnya terjadi pembentukan kerajaan campuran antara Pakatan Harapan (PH)-BN bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas tiada satu pun gabungan parti berhasil meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Sukar kembali jadi parti dominan

Pembentukan kerajaan campuran antara PH dan BN ini khasnya UMNO amat mengejutkan rakyat dan pengundi. Buat kali pertamanya UMNO/BN menjalinkan kerjasama dengan PH yang terdapat DAP di dalamnya.

Hubungan antara kedua pemimpin PH dan BN juga mampu mempengaruhi kerjasama ini, iaitu antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sehingga berjaya membentuk kerjasama politik dengan GPS dan GRS.

Hasil kejayaan rundingan dan kerjasama ini membolehkan UMNO dan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, manakala beberapa pemimpin kanan parti dilantik menjadi menteri penuh serta timbalan menteri di beberapa kementerian.

Namun, sehingga hari ini, penerimaan rakyat, terutama ahli UMNO akar umbi terhadap kerjasama politik UMNO-PH ini masih menjadi persoalan sehingga ada yang diterjemahkan dalam bentuk pengundian.

Terdapat ahli dan penyokong tegar UMNO tidak mahu mengundi calon UMNO kerana menunjukkan protes mereka kepada parti dan berasakan parti kini berubah daripada perjuangan sebenar.

Oleh itu, UMNO perlu untuk menerangkan atau memperbaiki keadaan berlaku ini, terutama kepada ahli akar umbi supaya protes ini tidak berlanjutan pada pilihan raya akan datang, terutama PRU16. Jika UMNO tidak melakukan apa-apa perubahan dan penambahbaikan mulai sekarang, mungkin tiada lagi peluang buat UMNO selepas ini untuk kembali dominan.

Ini kerana jika keadaan masih sama, pengundi terutama orang Melayu menjadi ahli serta penyokong akan kekal menghukum UMNO. Jika ini berlaku, tidak mustahil UMNO akan terus lemah dalam arena politik Malaysia.

Maka ketika itu, sudah tiada gunanya untuk UMNO menyalahkan mana-mana pihak kerana bukan pihak lain menjatuhkan mereka, tetapi 'tangan-tangan' pemimpin serta ahli akar umbi UMNO sendiri melakukannya.

Namun, jika UMNO berjaya melakukan perubahan dan kembali kepada perjuangan asal parti, terutama membela Islam dan orang Melayu serta kedaulatan tanah air, pasti sokongan Melayu akan kembali kepada UMNO dan tidak mustahil parti keramat Melayu ini mampu untuk kekal relevan pada PRU16 nanti.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia