Perlu ada mekanisme kawal inflasi | Utusan Borneo Online

Anda di sini

Perlu ada mekanisme kawal inflasi

Advertisement
  • Ia bagi memastikan pekerja memperoleh manfaat sepenuhnya daripada kenaikan gaji
Abang Johari disambut meriah semasa tiba pada majlis MBOR bagi Acara Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Abang Johari disambut meriah semasa tiba pada majlis MBOR bagi Acara Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi hari ini. - Gambar Roystein Emmor

Oleh Marlinda Mardzuki

KUCHING: Kerajaan persekutuan perlu ada satu mekanisme untuk mengawal inflasi secara efektif bagi memastikan pekerja memperoleh manfaat sepenuhnya daripada kenaikan gaji.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sebarang kenaikan gaji untuk pekerja tidak akan bermakna sekiranya ia hanya membawa kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak.

“Yang penting ialah kalau gaji naik bermakna penggunaan tempatan anda juga boleh naik dan ini akan merancakkan lagi ekonomi. Namun yang menjadi satu-satunya ancaman ialah inflasi.

“Jadi, kita perlu mengawal inflasi seiring dengan kenaikan gaji bagi mengelakkan kenaikan harga barang secara mendadak. 

“Jika inflasi meningkat, maka tidak ada faedah untuk menaikkan gaji, justeru dasar ekonomi kita mestilah seimbang,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Acara Peserta Terbanyak Memakai Pakaian Etnik Dalam Persembahan Tarian Berkoreografi di sini, hari ini.

Abang Johari berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengenai kerajaan akan mempertimbangkan secara menyeluruh cadangan UNICEF untuk menetapkan kadar gaji minimum pada RM2,102 sebulan berbanding RM1,500 ketika ini.

Rafizi berkata secara dasarnya adalah jelas bahawa pendekatan kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup adalah untuk memberi tumpuan kepada pendapatan rakyat.

Sehubungan itu, Abang Johari berharap kerajaan persekutuan khususnya Bank Negara dan Kementerian Kewangan mengambil kira implikasi peratusan kenaikan gaji kepada aliran wang dalam pasaran.

"Dasar ekonomi kita mesti seimbang dan pihak bank hendaklah memberi input kerana sebenarnya inflasi adalah permintaan mengatasi penawaran. 

“Kalau anda naikkan faedah, aliran wang dalam pasaran akan kurang bermakna mahu tak mahu (bekalan) barang akan menurun," katanya.

Bagi Sarawak, Abang Johari berkata, pihaknya menjalankan kajian berhubung kenaikan gaji berdasarkan produktiviti.

“Apa yang boleh kita (Kerajaan Sarawak) lakukan ialah mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi. Sebab itu petani kita menggunakan mesin dan teknologi, bermakna pendapatan mereka akan meningkat.

“Dan kalau dia tidak menggunakan cangkulnya  sebaliknya menggunakan traktor, maka gaji pemandu traktor akan lebih tinggi daripada pengguna cangkul. 

“Jadi, ini akan meningkatkan pendapatan mereka berdasarkan kemahiran tersebut,” katanya.

Oleh itu katanya, Kerajan Sarawak memberi penekanan kepada pembangunan bakat melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.

“Pembangunan bakat adalah kunci utama. Tanpa kemahiran, tiada bayaran yang tinggi. Jadi, kita mengutamakan pembangunan kemahiran untuk memastikan pekerja menerima gaji yang lebih tinggi," tegasnya.

Advertisement