Gaji minimum dipertimbangkan secara menyeluruh - Portal Berita
fb fb fb fb fb

Gaji minimum dipertimbangkan secara menyeluruh

Rafizi Ramli

PUTRAJAYA, 15 Mei- Kerajaan akan mempertimbangkan cadangan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) untuk menetapkan gaji minimum ditetapkan pada RM2,102 sebulan berbanding RM1,500 ketika ini di Malaysia.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan akan mengkaji perkara itu secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

Antara faktor yang diambil kira dalam kajian tersebut termasuk pemegang taruh, pekerja, majikan dan kemampuan kerajaan.

"Keseluruhan isu kos sara hidup, harus diuruskan bersama. Kita kena lihat kedua-dua komponen iaitu gaji dan inflasi.

"Oleh sebab itu sesuatu mekanisme perlu dilakukan secara berhati-hati termasuk memastikan adanya alternatif lain bagi melihat keadaan keseluruhan makroekonomi," katanya ketika menjawab soalan berkenaan cadangan UNICEF agar kerajaan menetapkan kadar gaji minimum.

Rafizi yang bercakap kepada media selepas Sidang Media Program Innovathon Musim Kedua turut berkata, kerajaan juga memperhalusi mekanisme pelaksanaannya yang setimpal dengan kos sara hidup dan kadar inflasi bagi menghasilkan keputusan yang mampan.

Sementara itu, berkenaan data Pangkalan Data Utama (PADU) ia telah sedia bagi kerajaan melaksanakan sebarang program melibatkan rakyat Malaysia termasuk subsidi bersasar.

Beliau menjelaskan, sebarang keputusan berhubung pelaksanaan mekanisme tersebut, hanya akan diputuskan oleh kerajaan pada tempoh yang sesuai, untuk mengelakkan spekulasi inflasi.

"Kita sedang cuba sedaya upaya untuk mengelakkan spekulasi inflasi. Jadi kerajaan memastikan semuanya dalam keadaan tersusun mengikut jadual.

"Sekiranya keputusan kerajaan itu diputuskan tidak mengikut perancangan, khuatir akan ada pihak yang cuba mengambilk kesempatan tertentu seperti menaikkan harga," katanya.

PADU merupakan pangkalan data sosioekonomi negara yang bersepadu dan menggabungkan semua data dari jabatan dan agensi kerajaan.

Menerusi data itu, komunikasi strategik bagi program kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan sampai kepada kumpulan sasar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI