UMNO Berdiri Teguh Kerana Dukungan Akar Umbi – Lokman Adam

KUALA LUMPUR, 14 Mei – UMNO tetap berdiri teguh kerana keberadaan akar umbi yang sentiasa memberi dukungan kepada parti, kata Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam.

Ketika ditemui UMNO Online, beliau menzahirkan rasa syukur kerana UMNO telah menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-78 pada 11 Mei lalu.

“Pertama, saya nak ucapkan selamat menyambut ulang tahun UMNO ke-78. Walaupun kita adalah sebuah parti yang sudah cukup lama dalam negara ini, alhamdulillah kita dapat melalui pelbagai rintangan dan dugaan.

“UMNO tetap berdiri teguh kerana kelebihan yang ada pada kita ialah akar umbi yang sentiasa bersama dengan kepimpinan UMNO dan parti. Tetapi, mereka yang lari, melompat dan mengkhianati parti adalah mereka yang mempunyai kepentingan.

“Mereka yang takut dengan dakwaan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti kita sedia maklum. Mereka yang takut dengan kes-kes polis mereka dan tidak berpuas hati kerana tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya.

Menurutnya, beliau yakin bahawa rakyat sudah mula merindui kepimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) setelah melihat semua parti mentadbir negara.

“Namun, akar umbi tetap utuh bersama dengan parti dan ini membolehkan parti ini terus hidup. Saya yakin hari ini setelah semua pihak diberikan peluang untuk mentadbir negara, ramai rakyat di luar sana sudah mula merindui kepimpinan UMNO/BN.

“Ini satu perkara yang bagi saya akan melonjakkan semangat ahli-ahli dan kepimpinan parti untuk terus berjuang bagi memastikan UMNO akan kembali gemilang serta terbilang,” katanya.

Untuk rekod, parti keramat UMNO telah menyambut ulang tahunnya yang ke-78 pada 11 Mei iaitu Sabtu lalu.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 3 Mei lalu memaklumkan bahawa sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-negeri.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan di peringkat Pusat, UMNO Malaysia bersama UMNO Wilayah Persekutuan akan menganjurkan secara bersama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.