'Dasar kerajaan mesra penjawat awam tambat hati polis, tentera di KKB'
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dasar kerajaan mesra penjawat awam tambat hati polis, tentera di KKB'

Beberapa penganalisis politik berpendapat dasar kerajaan yang mesra kakitangan awam telah menambat hati anggota pasukan keselamatan sehingga diterjemahkan dalam peningkatan undi awal pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB).

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Nur Ayuni Mohd Isa berkata, peningkatan sokongan terhadap kerajaan turut dipengaruhi oleh pengumuman dan pemberian pelbagai insentif kepada penjawat awam.

“Secara tradisi, kakitangan awam termasuk polis dan tentera akan menyokong kerajaan pada hari ini. Saya percaya tradisi ini akan kembali sekiranya kerajaan perpaduan konsisten menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelbagai insentif kepada kakitangan awam semenjak akhir Feb, bermula dengan bayaran insentif awal RM2000, bantuan khas Aidilfitri berjumlah RM500 dan yang terkini kenaikan gaji sehingga 13 peratus bermula 1 Dis ini.

Pertembungan di Kuala Kubu Bharu menyaksikan calon kerajaan perpaduan Pang Sock Tao menang PRK itu dengan meraih majoriti 3,869 undi, menewaskan pencabarnya dari PN, Khairul Azhari Saut (10,131 undi), calon PRM, Hafizah Zainudin (152 undi) dan calon bebas, Nyau Ke Xin (188 undi).

Menerusi undi pos, anggota polis memberikan 249 undi untuk calon kerajaan perpaduan (84.1 peratus) dan 47 untuk PN (15.8 peratus).

Berbanding PRN 2023, hanya 119 undi polis diberikan untuk kerajaan perpaduan (23.47 peratus) dan 388 undi untuk PN (76.5 peratus).

Manakala untuk tentera, sokongan kepada kerajaan perpaduan meningkat daripada hanya 27 undi (16 peratus) pada 2023 kepada 84 undi (54.2 peratus) pada PRK kali ini. Sokongan kepada PN pula menurun daripada 142 undi (84 peratus) pada 2023 kepada 71 undi (45.8 peratus).

Ayuni tidak menolak kemungkinan perubahan sokongan positif daripada anggota keselamatan akan berterusan sekiranya kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim ini terus memberikan insentif kakitangan awam.

‘Peraturan tidak tertulis’

Sementara itu Dekan di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Wan Hashim Wan Teh berkata kakitangan awam mempunyai rasa kebertanggungjawaban untuk mengundi kerajaan pada hari ini.

“Ia semacam sesuatu peraturan yang tidak tertulis bahawa setiap pegawai dan kakitangan kerajaan termasuk tentera dan polis akan memberikan taat setia kepada kerajaan yang dipilih.

“Mereka sudah tidak melihat dari sudut kepartian, mereka akan sokong sesiapa sahaja kerajaan yang memerintah,” katanya.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahnon Mohamed Salleh, pengumuman kenaikan gaji penjawat awam setinggi 13 peratus telah menarik hati mereka untuk bersama kerajaan.

"Pengumuman ini telah memberikan harapan kepada kakitangan awam di kala kos sara hidup yang tinggi.

“Agak sukar kita hendak mengetahui tahap sokongan kepada kerajaan daripada kakitangan awam yang lain seperti guru, petugas kesihatan dan pegawai kerajaan kerana mereka tidak terlibat undi awal. Akan tetapi saya percaya peningkatan itu turut melibatkan mereka,” katanya.

Shahnon berkata, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail turut komited dalam menjaga kebajikan polis seperti menaik taraf kuarters kediaman, balai polis & prasarana lain.

“Saya juga melihat secara pribadi Saifudin lebih pro kepada polis berbanding aktivis hak asasi manusia. Di KDN dia tidak ada niat untuk membuat perubahan drastik. Dia menghormati status quo dan tradisi (dalam pasukan keselamatan).

“Oleh sebab itu, kita masih belum mendengar perancangan untuk menghapus Akta Hasutan dan pinda Sosma,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS