Namaku B... - Selangorkini
BUDAYARENCANA

Namaku B…

Oleh Benedict Anak Samling

Ya. Itulah namaku, Babi. Aku tidak tahu siapa yang bersalah ke atas namaku. Bapa kata ejaan namaku tidak ditulis sebegitu ketika mengisi borang daftar kelahiran di pejabat pendaftaran 35 tahun lalu. Ejaan sebenarnya B.A.H <jarak> B.E.E. Menurut bapaku, nama ‘Bah Bee’ membawa makna gerombolan lebah. Lebah dalam suku kaum kami adalah simbol keberanian dan kekayaan. Namun, dalam usia sebegini, aku belum menemui keberanian dalam namaku, apatah lagi kekayaan. Mungkinkah ejaan namaku yang menolak kedua-duanya? Kawan-kawan mahupun para musuh menjauhi aku. Kata mereka, namaku Babi seperti membawa sial kepada mereka. Kawan menjadi musuh dan musuh menjadi kawan. Itulah kesialan yang mereka maksudkan. Aku takut!

Aku sedang mencari keberanian. Kebetulan aku mengenali seorang wanita. Aminah namanya. Aku suka pada Aminah sebagai kawan. Dia juga mungkin suka padaku. Tanyaku pada Aminah, tidak malukah berkawan dengan Babi? Aminah kata, ada apa dengan nama (macam tajuk lagu pula). Dia tidak pernah panggil namaku, Babi. Kalau dia ingin memanggilku untuk duduk di hadapannya ketika di perpustakaan, dia hanya bersiul dalam satu hembusan nafas. Macam kod rahsia. Rahsia antara Aminah dan aku, Babi. Atau, mungkin dia malu menyebut namaku?

Dalam diam, aku kagum dengan Aminah. Dia yang bertudung labuh tidak pernah mengejek namaku. Dia juga tidak pernah mempersoalkan namaku. Dia juga tidak pernah mencadangkan aku untuk menukar nama yang kedengaran mulia seperti Moses, Petrus, John, atau apa-apa nama yang tertulis dalam kitab perjanjian baru atau perjanjian lama. Aku kagum dengan susuk manusia bernama Aminah itu.

Ya, Babilah namaku. Ejaannya mudah sahaja B.A.B.I. Agamaku? Aku menganuti agama yang telah membaptiskan aku di Sungai Tekik. Seperti namanya, Sungai Tekik menjadi hab utama pertemuan segala sisa dari rumah termasuk dari rumah agam paderi yang membaptiskan aku. Tidak seperti aku, kawan-kawanku dibaptiskan di Sungai Tujuh Kuntum Mawar Merah. Setelah dibaptiskan, mereka mendapat nama pembaptisan. Kata paderi, nama pembaptisan itu tanda kelahiran semula. Aku? Namaku masih sama, Babi.

Walau telah dibaptiskan, gereja bukanlah tempat yang kukunjungi setiap hari Ahad. Setiap hari Ahad, aku masuk ke kedai judi di belakang gereja. Tidak. Aku tidak berjudi. Aku telah disumpah oleh paderi yang membaptiskan aku bahawa jika aku berjudi, aku akan dilanggar kemiskinan. Aku takut! Aku pergi ke kedai judi pada hari Ahad untuk menyumpah paderi yang membaptiskan aku. Dia yang sedang menatap berpuluh-puluh tiket dengan nombor empat dan enam digit menyeringai ke arahku. Sumpahanku dia tolak dengan mazmur-mazmur rekaannya. Dia mengucup tiket-tiket itu berkali-kali seperti pasangan kekasih yang baru ketemu setelah seminggu berjauhan, menadah tangan lalu memangkah dahinya. Ah! Biarkan dia dengan tiket-tiketnya. Aku ada temu janji dengan Aminah.

Aku ingin menyambut ulang tahun kelahiran Aminah di restoran makanan segera, restoran yang kosong semenjak Bumi Palestin digegarkan bom Benjamin Nentahayu. Namun, semua restoran menolak tempahanku. Kata mereka, namaku, Babi mungkin akan membawa sial kepada perniagaan mereka. Mujur ada satu restoran menerima. Seperti Aminah, pemilik restoran itu kata, ada apa dengan nama. Restoran itu terletak di penghujung deretan kedai nombor ekor. Restoran itu namanya Restoran Pohon Kuning. Restoran itu muslim friendly. Logo ‘Halal’ sebesar telinga gajah terpampang pada pintu masuk. Pemilik restoran orang Arab, begitu fasih berbahasa Melayu. Aku kagum. Walaupun aku dilahirkan di Malaysia, emak dan bapa pemegang kad pengenalan berwarna biru, namun bahasa Melayuku masih berbata-bata. Ya, aku malu dengan Aminah yang kerap membetulkan sebutan bahasa Melayuku.

Aminah tidak mahu makan di Restoran Pohon Kuning. Mahal katanya. Dia mengajak aku ke sebuah gerai di belakang Restoran Pohon Kuning. Gerai itu kecil. Kerusi dan meja di bawah kanopi segi empat. Ada lima kanopi. Semua kanopi penuh. Mujur pemilik kedai membenarkan kami duduk di mejanya. Kata Aminah, pemilik gerai itu, Alex, seorang mualaf. Di hadapan almari makanannya dilekatkan sijil halal. Pinggan mangkuknya tersusun rapi. Bahan-bahan masakannya di dalam almari lutsinar dan tertutup rapat.

Alex yang bersarung tangan plastik, begitu cekap mengendalikan makanan. Tiada setitis pun tumpahan walau tangannya bersimpang-siur mencapai bahan masakan. Mataku beralih ke bahagian belakang Restoran Pohon Emas. Para pekerjanya bertungkus-lumus mencuci pinggan di dalam besen yang besar. Air yang kuning berkocak. Peluh-peluh para pekerja yang menitis ke dalam besen itu seperti air hujan. Pinggan-pinggan itu kemudian dilontarkan ke perdu pokok petai belalang.

Di seberang jalan, bertentangan dengan Restoran Pohon Emas, ada sederet restoran makanan laut. Menunya: ikan bakar, sotong sumbat bakar, udang galah, udang sepit biru, ikan pelbagai rasa, sambal kerang-kerangan, ayam bakar dan pelbagai jenis sayur-sayuran. Kebanyakan restoran ada tanda No Pork Served atau Pork Free tetapi tiada logo halal. Kalau ada logo halal pun, di gerai pak cik berkopiah di dalam restoran tauke yang berambut putih, bersinglet dan berselipar Jepun. Logo yang dicetak dalam mod ekonomi yang sebesar tapak tangan bayi baru lahir dilekatkan di sudut kiri bahagian bawah almari makanan gerai pak cik berkopiah. Walaupun begitu, Restoran Makanan Laut Sinar Mata yang hanya bertanda No Lard dipenuhi pelanggan daripada pelbagai bangsa dan agama. Dalam kekaguman, aku kehairanan.

Mataku beralih ke arah wanita di hadapanku yang sedang menghirup teh tariknya. Pada tangannya, ada surat khabar bertarikh hari ini. Di muka hadapan terpampang berita tentang sebuah restoran makanan segera menjadi pusat persinggahan warga asing tanpa permit. Dan pada halaman sama, berita seorang paderi dicekup ketika bermain judi dalam talian.


Pengarang :