Cara Untuk Buat Draf Bank (Bank Draft) Dan Kegunaannya - Majalah Labur

Cara Untuk Buat Draf Bank (Bank Draft) Dan Kegunaannya

Kita mungkin pernah dengar tentang draf bank atau yang dikenali juga sebagai bank draft. Draf bank merupakan alat yang mudah dan selamat digunakan untuk membuat pembayaran besar tanpa perlu mengeluarkan wang tunai yang banyak.

Ya, kegunaannya adalah untuk membuat pembayaran besar dengan lebih lancar. Seperti membayar downpayment untuk rumah lelong, kereta lelong, mahupun untuk permohonan IPO dalam pelaburan saham. Hantaran kahwin dalam bank draf pun lebih selamat daripada guna duit cash. Framekan dan letak atas dulang hantaran.

Untuk pengetahuan anda, draf bank dijamin oleh institusi kewangan. Ia boleh digunakan oleh pelbagai pihak untuk membuat pembayaran kepada pihak ketiga. 

Ianya seolah-olah bank menulis cek bagi pihak kita. Maka tiada isu cek tersebut akan kena tendang atau ‘bounce’, kerana memang wujud duit seperti yang dinyatakan di dalam draf bank tersebut.

Mari kami kongsikan cara buat draf bank dan kegunaannya yang ramai tak tahu.

1. Pergi Ke Kaunter Bank

Perkara pertama yang diperlukan untuk buat draf bank adalah pergi ke cawangan dan kaunter bank mana-mana berdekatan mengikut jenis bank yang anda mahukan. Sekiranya anda pemilik Maybank, maka anda harus ke kaunter Maybank tersebut.

Setibanya di sana, anda perlu memaklumkan kepada penjaga kaunter untuk membuat draf bank. Selepas itu, anda akan diberi borang draf bank.

2. Isi Borang Permohonan Draf Bank

Setelah menerima borang draf bank tersebut, maka teruskan untuk mengisinya. Jadi masukkan maklumat penerima seperti yang diperlukan oleh borang tersebut.

Biasanya, anda dikehendaki mengisi nama penuh penerima, nombor kad pengenalan penerima, alamat rumah penerima, nombor telefon penerima dan pekerjaan penerima.

3. Ambil Nombor Giliran

Selepas selesai mengisi borang permohonan draf bank, maka anda perlu mengambil nombor angka giliran dan menunggu giliran anda sehingga dipanggil.

Mudah sahaja, ia sama seperti urusan bank yang lain.

4. Isi Borang Pengeluaran

Kemudian, apabila tiba giliran anda, anda dikehendaki mengisi borang pengeluaran. Pastikan anda nyatakan jumlah sebenar pengeluaran yang ingin dilakukan.

Selepas semuanya selesai, maka draf bank anda pun telah dibuat.

Kegunaan Draf Bank

Kredit Gambar: Twitter Twthartanah

Dalam kebanyakan kes, draf bank boleh digunakan untuk membuat pembayaran dalam pelbagai jenis mata wang. Fungsinya sama seperti wang tunai dan tidak mempunyai tarikh luput bagi kebanyakan institusi kewangan.

Namun ada juga institusi kewangan yang tidak menerima draf bank yang berusia lebih daripada beberapa bulan. Oleh itu, sila pastikan perkara ini terlebih dahulu.

Kalau nak tahu, draf bank juga dikenali sebagai cek bank atau bankers cheque.

Kesimpulannya, draf bank amat berguna untuk sebarang transaksi dan tidak mempunyai had pengeluaran. Walaupun draf bank sukar untuk dibatalkan tetapi sekiranya penerima draf bank belum tunaikan pembayaran draf bank terbabit, ianya boleh dibatalkan oleh pihak bank.

Sekiranya draf bank musnah atau berlaku sesuatu terhadap draf bank tersebut sebelum dihantar kepada pihak penerima, ia juga boleh dibatalkan.

Sumber Rujukan: Living Economy Advisors

Baca juga:

Previous ArticleNext Article

Kerajaan Peruntuk Dana RM100 Juta Untuk Galak Inovasi Kewangan Islam — PM Anwar

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi komitmen kerajaan terhadap inovasi kewangan Islam melalui perkongsian dan mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM100 juta untuk meningkatkan lebih banyak inovasi sedemikian.

Selaras dengan komitmen itu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan dua inovasi kewangan gabungan yang baharu — program perintis memastikan perniagaan halal mengamalkan konsep hijau atau mesra alam, dan ‘Projek Hassan’.

Program perintis perniagaan halal yang mengamalkan konsep hijau itu merupakan kerjasama antara Bank Pembangunan Islam (IsDB), Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia. 

Anwar berkata, program itu bertujuan membantu perniagaan halal di Malaysia dalam peralihan kepada amalan yang lebih hijau dan mampan dengan menyediakan pembinaan kapasiti teknikal, peralatan untuk mengukur dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau, pembiayaan peralihan dan pensijilan.

Sementara itu, Projek Hassan ialah kerjasama antara Lembaga Zakat Negeri Kedah, Majlis Pimpinan MIFC (MLC), Persatuan Perbankan Islam dan Institusi Kewangan Malaysia dan Universiti INCEIF, yang bertujuan meningkatkan inisiatif zakat untuk meningkatkan status sosio-ekonomi golongan asnaf di Kedah.

 “Melalui kerjasama ini, RM10 juta disasarkan bukan sahaja untuk mengukuhkan komuniti asnaf tetapi juga menambah baik faedah langsung hasil tuaian untuk pesawah,” kata beliau dalam ucap tama di Forum Global mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam (GFIEF) hari ini.

Selain itu, Anwar berkata Malaysia juga mesti berinovasi dan memanfaatkan konsep wakaf.

“Pada Mac 2024, kerajaan meluluskan geran sebanyak RM100 juta ke arah penubuhan dana wakaf MARA, menumpukan kepada pendanaan sumbangan swasta bagi tujuan melanjutkan pelajaran dan keusahawanan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah melanjutkan insentif cukai untuk menampung inisiatif wakaf berasaskan saham dan memperuntukkan sebanyak RM500 juta pembiayaan pinjaman untuk pembangunan hartanah di atas tanah wakaf.

“Selain itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan memperkenalkan pengumpulan dana untuk pembangunan wakaf melalui pembiayaan rakan setara dan platform pendanaan awam ekuiti, dengan kerajaan menyediakan pembiayaan padanan melalui Malaysia Co-Investment Fund (MyCIF) pada kadar pembiayaan sifar peratus,” kata Anwar.

Perdana Menteri juga mengalu-alukan lebih banyak inisiatif dalam bidang ini yang akan meluaskan skop ekonomi dan mewujudkan pelbagai peluang bagi perniagaan kecil dan sederhana serta individu yang kurang bernasib baik.

“Transformasi bukan sahaja mengenai menangani jurang, ia juga mengenai menerima dan menyesuaikan diri dengan masa depan,” katanya.

Tambahan pula, Anwar berkata mencapai pematuhan Syariah dalam aset digital dan kontrak pintar semata-mata tidak mencukupi.

“Kita mesti memastikan teknologi ini dibangunkan dan dilaksanakan dengan cara untuk memperkasakan rakyat kita, mewujudkan perpaduan dan perpaduan yang lebih erat dalam kalangan negara kita dan memberi kita lebih banyak kebebasan untuk membina masyarakat yang mampan dan berdaya tahan,” kata beliau.

— BERNAMA

© 2022 Serius Kool Media (1217798M). Hakcipta Terpelihara