Kerajaan perlu jana lebih hasil tampung perbelanjaan kenaikan gaji, faedah - RHB Research

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

RHB Research berkata, peningkatan perbelanjaan emolumen daripada kenaikan gaji penjawat awam boleh dibiayai melalui kutipan hasil yang lebih tinggi, penjimatan daripada rasionalisasi perbelanjaan mengurus (OE) serta pertambahan dalam pinjaman kerajaan.

Firma penyelidikan itu melalui satu nota hari ini berkata, memandangkan sejumlah besar bahagian OE dikhususkan untuk emolumen, rasionalisasi perbelanjaan subsidi termasuk pelaksanaan langkah cukai baharu adalah perlu bagi mengimbangi lonjakan kos operasi dan pengurusan hutang negara.

Imbuhan penjawat awam akan dinaikkan sekurang-kurangnya 13 peratus, berkuat kuasa 1 Disember 2024. Kenaikan gaji itu diunjurkan menelan belanja lebih RM10 bilion setahun.

"Dengan mengandaikan bahawa peruntukan untuk emolumen dinaikkan sebanyak RM10 bilion menjelang 2025, jumlah peruntukan untuk emolumen bagi tahun itu dijangka sekurang-kurangnya RM105.6 bilion berbanding RM95.6 bilion yang diunjurkan untuk 2024," katanya.

RHB Research berkata, terdapat potensi kekurangan kira-kira RM4 bilion selepas mengambil kira potensi sumber hasil (semakan dalam cukai perkhidmatan, cukai barang bernilai rendah (LVGT) dan kutipan cukai barang bernilai tinggi (HVGT)) serta penjimatan daripada rasionalisasi subsidi bahan api.

Berdasarkan perkembangan baru-baru ini, tambahan RM3.2 bilion dijangka akan dipungut daripada hasil cukai perkhidmatan yang lebih tinggi dan pelaksanaan LVGT.

Semakan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus pada 1 Mac 2024, diramalkan menjana pendapatan tambahan sebanyak RM3.0 bilion.

Sementara itu, pelaksanaan LVGT pada 1 Januari 2024, dianggarkan menjana kutipan hasil berjumlah RM0.2 bilion untuk tahun pertama pelaksanaan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, HVGT yang dirancang agar mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak RM0.7 bilion setahun jika ia dikuatkuasakan bermula 1 Mei lepas telah ditangguhkan.

RHB Research berkata penyingkiran sepenuhnya subsidi diesel akan membawa kepada potensi penjimatan sebanyak RM8.95 bilion setahun.

Sementara itu, potensi penjimatan daripada penarikan sepenuhnya subsidi RON95 akan menyumbang kepada penjimatan RM13.7 bilion.

Buat masa ini, tiada keputusan muktamad dibuat mengenai pemotongan subsidi bahan api Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!