TUDM ATUR GERAK PESAWAT MEMBAWA PASUKAN TENTERA DARAT MALAYSIA LAKSANAKAN OPERASI KAWALAN PERSEMPADANAN NEGARA DI SARAWAK

1 2 3
4 5

 

Kuching, 3 Nov 2020 - TUDM telah melaksanakan misi membawa anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari 20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) dan 7 Rejimen Sempadan (7 RS) ke Sarawak. Kesemua mereka telah dihantar ke lokasi-lokasi yang telah dikenalpasti di Sarawak di dalam operasi menjaga persempadan negara di antara Malaysia dan Indonesia. OP JAGAKAWAN adalah misi sedia ada yang dioperasikan oleh TDM dan melalui kawalan persempadanan daratan Sarawak- Kalimantan ini, OP BENTENG terus diperkasakan dengan operasi sedia ada bagi mengekang pencerobohan oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) sekaligus membendung penularan pandemik COVID-19 khususnya di negeri Sarawak.

TUDM telah mengatur gerak sebuah pesawat angkut jenis CN235-220M dari No. 1 Skuadron, Pangkalan Udara Kuching. Pematuhan anak kapal terhadap prosedur operasi standard (SOP) ketika melaksanakan penerbangan diikuti sebaik-baiknya sebagai langkah pencegahan bagi penularan pandemik COVID-19 dengan pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka, disinfeksi ke atas bagasi dan peralatan malah kesemua anak kapal dilengkapi dengan Peralatan Perlindungan Diri (PPE).

Penerbangan ini telah dikendalikan dengan jayanya oleh Mej Azhar TUDM, Mej Adi TUDM, Mej Tifaz TUDM selaku juruterbang dan Lt Nazirul TUDM serta Lt Syamsiah TUDM selaku pembantu juruterbang. Anak kapal lain yang turut membantu misi ini adalah 4 orang loadmaster iaitu PW Tarmizi, FSjn Izwan, FSjn Alain dan FSjn Riffa.

TUDM akan terus komited dan bersiap siaga untuk diaturgerakkan di dalam misi operasi demi kedaulatan dan keselamatan negara disamping memperkasakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai benteng pertahanan negara. Semoga usaha bersepadu melibatkan TUDM bersama pasukan sahabat dan pasukan keselamatan negara terus dipergiatkan dari semasa ke semasa. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua anak kapal serta semua pihak yang terlibat dalam memastikan penerbangan pada hari ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Selamat bertugas juga kepada pasukan TDM yang melaksanakan operasi kawalan persempadanan daratan negara.