Gaji naik, mutu kerja 'wajib' lebih baik - Kosmo Digital

Gaji naik, mutu kerja ‘wajib’ lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA

MEMETIK kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sempena sambutan Hari Pekerja yang diraikan 1 Mei lalu, pekerja adalah tiang utama kemajuan negara.

Masa depan negara akan lebih cerah jika semua pekerja di segenap sektor sama ada kerajaan mahupun swasta memberikan komitmen dan berusaha untuk menjadi yang terbaik dalam bidang pekerjaan masing-masing.

Sempena menghargai peranan yang dimainkan pekerja khusus mereka yang bekerja di sektor kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan skim gaji penjawat awam naik lebih 13 peratus bermula 1 Disember tahun ini.

Kadar itu tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara.

Selain itu, pendapatan bulanan menyeluruh minimum penjawat awam sebanyak RM1,795 juga dianggap tidak lagi munasabah.

“Bermula tahun ini, sistem saraan akan memulakan satu kriteria ukuran baharu yang harus diteliti oleh swasta iaitu pendapatan menyeluruh gaji dan elaun tetap perlu melebihi RM2,000,” kata Anwar ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 di Putrajaya baru-baru ini.

Jelas sekali usaha kerajaan ‘berunding’ dalam menentukan kadar pendapatan bersih penjawat awam dilihat dapat meningkatkan motivasi setiap penjawat awam yang menabur bakti buat nusa dan bangsa.

Mengulas berkaitan motivasi, Pegawai Kaunselor Kanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, motivasi pekerja adalah tahap tenaga, komitmen dan kreativiti yang dibawa oleh pekerja sesebuah organisasi dalam pekerjaan.

Ujarnya, pekerja bermotivasi adalah mereka yang teruja untuk pergi bekerja dan menghadapi cabaran baru.

“Selain persekitaran pekerjaan yang harmoni, keadaan selamat serta bebas daripada kecaman atau kritikan, kebajikan pekerja amat penting.

“Kebajikan pekerja termasuk perihal mental, emosi serta penghargaan yang diberikan seperti bonus, insentif serta kenaikan gaji.

“Ia memberi suntikan semangat yang berbeza dan pekerja wajar untuk meningkatkan kualiti dan prestasi kerja selaras dengan insentif yang diberikan,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan kokurikum, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) , Dr. Erwan Ismail berpendapat, pelarasan tangga gaji yang bakal dinaikkan itu diharapkan dapat memberi kesan positif dalam membentuk suasana kerja yang lebih efektif.

Menurutnya, kakitangan awam tidak boleh hanya bertepuk tangan apabila ‘hadiah’ sempena Hari Pekerja itu diumumkan.

“Sebaliknya, semua anggota perkhidmatan awam perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam menyampaikan perkhidmatan.

“Kalau gaji naik, tetapi mutu perkhidmatan yang disajikan kepada rakyat masih lagi ditakuk lama dan tidak memuaskan, itu satu merugikan kerajaan kerana pada hujungnya pihak kerajaan akan dipersalahkan.

“Jadi, semua penjawat awam disarankan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat agar rungutan, aduan berkaitan mereka dapat dikurangkan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received