ALOR SETAR: Sejumlah 30 buah kereta kanak-kanak yang diletakkan berhampiran sebuah hotel di Kampung Baru, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi Rabu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 3.50 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Zulkifli Md Esa bersama 12 anggota bersama sebuah jentera, sebuah EMRS dan dua buah motosikal RIM tiba di lokasi kejadian tidak lama kemudian.

"Setibanya di lokasi, didapati kebakaran itu membabitkan 30 buah kereta kanak-kanak di kawasan itu.

"Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan berada di lokasi kejadian ketika itu.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan pihak Bomba," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Ahmad Naufal berkata, api berjaya dikawal pada jam 3.54 pagi dan berjaya dipadam sepenuhnya jam 4.45 pagi.

Bagaimanapun katanya punca dan nilai kerugian masih dalam siasatan.