CABARAN PEMERINTAHAN MONGOL : DINASTI ILKHANAT (1256-1335 M) (Siri 128)
Pemerintahan ke 3 : Sultan Ahmad Tekuder (1282-1284M)
Tekuder telah ditabalkan sebagai pemerintah Dinasti Ilkhanat pada tahun 1282 Masihi selepas kemangkatan Abaqa Khan. Tekuder dilahirkan pada tahun 645 Hijrah atau 1247 Masihi di Mongolia. Beliau adalah putera ke tujuh kepada Hulagu Khan manakala ibunya bernama Qutui Khatun. Tekuder adalah adik kepada Abaqa Khan dan beragama Kristian mengikut agama yang dianuti oleh ibunya. Semasa dibaptiskan beliau telah diberikan nama Nicholas.
Selepas kemangkatan Abaqa Khan, Tekuder bermusafir dari Kurdistan untuk menghadiri majlis pengebumian abangnya. Memandangkan beliau adalah anak Hulagu Khan maka majlis perlantikan pengganti pemimpin Dinasti Ilkhanat bersetuju untuk menabalkannya sebagai pengganti Abaqa Khan. Tekuder kemudiannya telah mengistiharkan bahawa beliau telah memeluk agama Islam dan menggunakan nama Ahmad Tekuder. Sebahagian penulis mengatakan beliau telah memeluk Islam pada usia remaja lagi. Dalam pemerintahan beliau menggunakan gelaran Sultan Ahmad Tekuder. Beliau menjadi pemerintah Islam pertama dalam Dinasti Ilkhanat manakala sepupunya Berke Khan adalah pemimpin Islam pertama dalam keluarga pemerintah Mongol. Sultan Ahmad Tekuder telah membuat rombakan besar-besaran terhadap sistem pemerintahan mengikut panduan Islam. Pemerintahannya telah memberi sinar baharu terhadap penganut Islam dalam Diansti Ilkhanat.
Sultan Ahmad Tekuder telah mengirim surat kepada pemerintah Mamluk Mesir pada ketika itu Sultan Qalawun (1279-1290M). Surat yang dikirmkan oleh Sultan Ahmad Tekuder kepadanya hanya disambut dengan dingin sahaja oleh Sultan Qalawun walaupun beliau gembira Dinasti Ilkhanat diperintah oleh seorang Sultan Muslim. Namun beliau tidak cenderung untuk mengadakan kerjasama dan hubungan luar negara dengan Dinasti Ilkhanat. Sultan Ahmad Tekuder menghadapi masalah dengan hubungan dengan wilayah-wilyah luar yang lain kerana asalnya Dinasti Ilkhanat tidak mesra dengan wilayah yang dikuasai oleh pemimpin Muslim. Malah lebih parah lagi beliau menghadapi tentangan dari dalam yang terdiri dari kalangan pembesar yang tidak menyukainya kerana telah memeluk agama Islam dan melantik pemimpin Muslim menjadi pembesar negara.
Masalah yang paling besar dihadapi oleh Sultan Ahmad Tekuder adalah penentangan dari putera Abaqa Khan iaitu Arghun. Kematian Abaqa Khan masih menjadi misteri bagi Arghun dan beliau tidak berpuas hati apabila bapa saudaranya Sultan Ahmad Tekuder telah membebaskan Syamsuddin Juyayni yang pada masa itu telah ditahan untuk perbicaraan atas tuduhan membunuh Abaqa Khan. Malah Syamsuddin Juyayni telah diantik menjadi salah seorang pemimpin. Arghun telah membuat beberapa konspirasi untuk menumbangkan pemerintahan Sultan Ahmad Tekuder. Konspirasi ini telah dapat diketahui oleh Sultan Ahmad Tekuder setelah menyedari adik tirinya Qonqurtai bersubahat dengan Arghun untuk merampas kuasa. Qonqurtai telah ditangkap dan dihukum bunuh atas kesalahan merancang pemberontakan.
Arghun bersama dengan penyokongnya yang tidak mendukung kepimpinan Sultan Ahmad Tekuder lalu telah berpakat untuk melakukan pemberontakan. Berlaku pengkhianatan dalaman dari kalangan pegawai tinggi Sultan Ahmad Tekuder dan akhirnya tercetuslah peperangan. Sultan Ahmad Tekuder mengambil keputusan untuk menuju ke Golden Horde mendapatkan perlindungan. Namun dalam perjalanan tersebut beliau telah ditangkap dan akhirnya dihukum bunuh pada tahun 1284 Masihi dengan cara dipatahkan tulang lehernya. Hukuman ini dilakukan kerana tidak mahu menumpahkan darah seorang Sultan yang menjadi satu amalan pemerintah Mongol sejak zaman berzaman. Usia beliau ketika itu adalah 37 tahun dan sempat memerintah dalam dua tahun sahaja. Syamsuddin Juyayni juga ditangkap dan turut dihukum bunuh pada tahun 1284 Masihi.
Bersambung esok. Insya Allah.
Ustaz Sabir
20hb. Jan. 2021
7 Jamadil Akhir 1442 H
Rujukan utama Sejarah Bangsa Tartar, Bangkit dan Runtuhnya Bangsa Mongol, Bangkit dan Runtuhnya Daulah Abbasiyah, Tarikh At-Tabari, Tarikh Khulafa, Tarikh Ibnu Khaldun, Al-Kamil Fi At-Tarikh, Al-Bidayah Wa An-Nihayah, Al-Muqaddimah dan lain-lain.