TENTERA UDARA DIRAJA MALAYSIA BERI PENGHARGAAN PENUH PENGHORMATAN KEPADA PANGLIMA ANGKATAN TENTERA KE 21, JENERAL TAN SRI DATO’ SRI HAJI AFFENDI BIN BUANG TUDM

1 2 3 4
5 6 6 8
9 10 11 12
13 111 15 16
17 18 19 20
21 22 369351142 680269464144524 104635171554875711 n 23
24 25 26 28

 

BUTTERWORTH, 18 Ogos 23 – Setelah hampir 44 tahun berkhidmat untuk perkhidmatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong khususnya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM diraikan bersama isteri, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk Hajah Tengku Muhaini binti Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) ATM oleh TUDM secara khusus di dalam Perbarisan Penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera Ke-21 di Pangkalan Udara Butterworth. Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang juga merupakan Panglima Tentera Udara Ke-18 akan menamatkan perkhidmatan di dalam TUDM khususnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya.

Perbarisan Penghargaan kepada Panglima Angkatan Tentera ke-21 melibatkan 23 pegawai dan 404 anggota Lain-Lain Pangkat diketuai oleh Leftenan Kolonel Khairul Fadly bin Abu Bakar TUDM serta diiringi oleh gabungan Pancaragam Pusat TUDM, Kolej Tentera Udara, Alor Setar dan Akademi Tentera Udara, Ipoh di bawah pimpinan Mej Mohamad Rizal bin Hj Mohamad Noor TUDM. Perbarisan berkonsepkan perbarisan istiadat, dengan penglibatan lapan (8) panji-panji iaitu panji-panji Kolej Tentera Udara, No 6 Skn, No 7 Skn, No 10 Skn, No 14 Skn, No 15 Skn, No 18 Skn dan No 20 Skn bersama empat Skuadron Pengawal.

Ketibaan Panglima Angkatan Tentera dan isteri disambut oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM dan isteri, Puan Sri Datin Sri Bibi Nasratjahan binti Gulab Khan; Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Hj Muhamad Norazlan bin Aris TUDM dan isteri, Datin Seri Hajah Wan Nor Sazlina binti Wan Abd Shukor; Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan isteri, Datin Dr Harlina binti Haron; Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato' Zahani bin Zainal Abidin TUDM dan isteri Datin Lynette binti Tan Sri Mohamed; Panglima Wilayah Udara 1, Mej Jen Dato' Mahadzer bin Amin TUDM dan isteri, Datin Nor Asmah binti Hj Hashim serta Panglima Wilayah Udara 2, Mej Jen Dato’ Wan Amin Hafiz bin Wan Mahmud TUDM dan isteri, Datin Suhana binti Ahmad Din.

Sebaik ketibaan di medan perbarisan, Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM telah menerima tabik hormat daripada Kontinjen Perbarisan yang turut diiringi dengan Terbang Lintas Hormat lima (5) helikopter yang membawa Jalur Gemilang, Bendera ATM dan Bendera TUDM. Beliau seterusnya memeriksa perbarisan sebelum diteruskan dengan Perbarisan Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan Dan Cepat serta Mara Mengadap. TUDM memberikan penghargaan penuh penghormatan dengan terbang lintas pesawat latihan PC 7 MK II, Pesawat pengangkut A400M dan C130H serta pesawat pejuang Su-30 MKM, F/A 18 D Hornet dan BAE Hawk.


Selesai perbarisan, Panglima Angkatan Tentera dan isteri turut bersama-masa diraikan di Majlis Jamuan dan beramah mesra dengan bersama warga TUDM serta beberapa jemputan yang terdiri daripada kenalan. Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM di dalam ucapannya memaklumkan bahawa beliau akan menyerahkan tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia kepada pengganti beliau iaitu Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad bin Ab Rahman, Panglima Tentera Darat pada 6 September 2023. Penyerahan tugas tersebut bakal merekodkan tempoh hampir 44 tahun pengabdian beliau di dalam ATM, khususnya TUDM yang amat beliau cintai. Beliau turut menzahirkan rasa syukur ke hadrat Illahi atas nikmat yang diberi dan mempermudahkan segala urusan beliau dalam menjalankan tanggungjawab berat yang diamanahkan. Meskipun pelbagai rintangan dan cabaran dihadapi, namun semuanya dapat diharungi dengan lancar, berkat sokongan dan kerjasama segenap lapisan warga Angkatan Tentera Malaysia, khususnya juga seluruh warga TUDM.

Beliau juga menyeru kepada setiap barisan kepimpinan serta segenap lapisan warga TUDM agar terus memberikan sokongan dan kerjasama yang jitu kepada Panglima Angkatan Tentera yang baharu. Beliau menaruh kepercayaan bahawa dengan kebijaksanaan kepimpinan serta kredibiliti TUDM yang ada pada hari ini, akan dapat mendukung ATM memacu kejayaan, khususnya dalam merealisasikan reformasi Angkatan Masa Hadapan sepertimana yang telah dipersetujui bersama.

Panglima Angkatan Tentera turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada isteri tersayang, Yang Amat Mulia, Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk, Hajah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah, Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM di atas pedoman serta wawasan yang jelas sepanjang meneraju BAKAT ATM serta sentiasa menitikberatkan kebajikan keluarga ATM. Penghargaan juga dizahirkan kepada seluruh kepimpinan BAKAT Udara yang telah turut sama memberikan sokongan padu dalam setiap perancangan agenda BAKAT ATM.

Perbarisan Penghargaan yang diadakan ini adalah sebagai tanda penghormatan dan menghargai jasa daripada warga TUDM di atas segala khidmat bakti, jasa, serta pengorbanan yang telah dicurahkan oleh Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM yang terkenal dengan panggilan “APAI”. Beliau juga mengharumkan nama TUDM serta mencipta rekod sejarah tersendiri sebagai insan pertama merupakan anak jati Sarawak yang menjadi Panglima Tentera Udara dan Panglima Angkatan Tentera. Beliau juga terkenal dengan pasukan aerobatik taktikal TUDM MiG-29 dikenali ‘Smokey Bandit” yang turut menjulang nama TUDM dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Jeneral Tan Sri Dato' Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan isteri, Yang Amat Mulia, Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Datuk, Hajah Tengku Muhaini binti Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah beredar meninggal majlis dengan diberi penghormatan acara tradisi “Send off” ditarik dengan pesawat F/A-18D Hornet dan “street lining” oleh seluruh Warga TUDM.