Syasya terbang ikut suami, sambung belajar di UK lepas raya haji - Kosmo Digital

Syasya terbang ikut suami, sambung belajar di UK lepas raya haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nenek Syasya iaitu Rozie mendoakan yang terbaik buat cucunya itu yang kini sudah menggalas status isteri.

KAJANG – Dramatis, Rozie Othman mengesahkan cucunya yang juga bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal bakal mengikut suami menyambung pengajian di luar negara selepas sambutan hari raya haji bulan depan.

Katanya, keluarga mereka kini rancak membuat persediaan untuk majlis persandingan Syasya dengan pasangannya, Nasrullah di sebuah lokasi di ibu negara pada 8 Jun ini.

“Insya-Allah, pengantin akan diraikan dalam sebuah majlis persandingan yang menghimpunkan saudara mara, kenalan dan rakan artis.

“Rancangan mengikut suaminya sambung belajar di luar negara juga sudah muktamad. Mereka dijangka ‘terbang’ selepas sambutan hari raya Aidiladha.

“Ikutkan suaminya belajar di sana dua, tiga tahun cuma destinasinya saya lupa di mana, mungkin United Kingdom. Nanti apabila berpeluang jumpa Syasya saya tanyakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online di rumah terbuka penerbit filem D’ Ayu Pictures, Datuk Rosmarayu Mokhtar, baru-baru ini.

Pada masa sama, pelakon yang aktif di arena lakonan sejak awal 1980-an itu mengakui belum berpeluang bertemu cucunya itu sejak pulang mengerjakan umrah April lalu.

Katanya, dia masih berharap Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, mempertimbangkan semula hajat meninggalkan dunia seni suara.

Menurut Rozie, status sebagai isteri tidak perlu dijadikan kekangan untuk meneruskan langkah sebagai penyanyi, lebih-lebih lagi selepas namanya mengharum sampai ke China.

“Sebenarnya suami Syasya mahu sambung pengajian dan mahukan ikatan yang sah. Syasya pula belum sedia tapi suami tetap mahu berkahwin.

“Jujurnya, saya kecewa mendengar berita mereka mahu berkahwin. Ketika mendapat tahu, saya berada di Mekah.

“Saya tanya kenapa nak nikah tergesa-gesa. Syasya sendiri hantar saya ke lapangan terbang dan mohon saya doakan yang baik-baik buatnya, tapi tak mengapalah. Mereka dah selamat nikah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rozie berkata, dia tidak dapat hadir ke majlis pernikahan Syasya, namun sentiasa mendoakan yang terbaik buat cucunya.

“Saya pelik kenapa masa masih belajar beriya-iya nak jadi artis, saya pernah nasihatkan Syasya belajar dulu. Sekarang, bila ada nama, menyanyi sampai ke China dan tandatangan kontrak, tiba-tiba cakap nak tarik diri.

“Bukan mudah nak jadi artis naungan Universal Music Malaysia. Saya sudah 44 tahun jadi artis, nak cipta satu produk untuk orang kenal pun bukan susah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Rozie berkata, dia perlu berlapang dada dan menerima keputusan Syasya dengan baik.

Mengulas lanjut mengenai imej baharu Syasya yang sudah bertudung, kata Rozie, dia gembira dengan perubahan cucunya.

“Saya berdoa kepada Allah, biarlah dia berubah dari segi penampilan sebab saya takut tengok Syasya buat show, terlalu seksi,” tambahnya.

Mengenai maklum balas netizen selepas dia tampil dengan pelbagai kenyataan berhubung perkahwinan cucunya, Rozie tidak menafikan menerima banyak kecaman, namun terima semuanya dengan hati terbuka.

“Kalau nak kata orang kecam, macam-macam saya terima. Ada yang kata kenapa nenek Dolla yang tak masuk dalam Dolla, suruh nenek Dolla yang buat show, ada juga yang ungkit imej lampau saya.

“Tapi nak cakap apa, cakaplah. Saya cuma berlapang dada,” katanya.

Pada 8 April lalu, Syasya mengumumkan undur diri daripada Dolla berikutan hal peribadi yang tidak dapat didedahkan, namun kemudian mengesahkan sudah bernikah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI