Penjawat awam antara ditahan menyamar polis, samun 8 warga asing | Harian Metro
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Tindakan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam yang menyamar sebagai pegawai polis dan menyamun lapan warga asing membawa padah apabila mereka ditahan oleh polis, malam ini.

Mereka berusia antara 29 hingga 43 tahun itu disyaki terbabit dalam kes samun berkumpulan dan ditahan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor pada jam 11 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Yusoff berkata, kejadian pada 10.30 malam semalam ketika mangsa bersama-sama tujuh rakan berjalan pulang ke rumah, sebelum ditahan oleh empat lelaki yang memperkenalkan diri sebagai polis.

Katanya, suspek merampas beg duit, telefon bimbit dan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) milik mangsa berusia 20-an dan rakan-rakannya sebelum melarikan diri.

"Mangsa adalah warga Myanmar yang bekerja sebagai buruh di Kota Bharu dan menetap di negara ini selama 13 tahun.

"Bertindak atas maklumat risikan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam dan tiga pekerja kedai mencuci kereta ditahan di tepi jalan Kampung Kubang Tin, Melor kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

"Turut dirampas ketika tangkapan ialah tiga motosikal, topi keledar dan sejumlah wang tunai," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Mei ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 395 KK, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebat. Namun, kes masih di peringkat siasatan.

"Sehubungan itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan," katanya pihak polis menerima laporan pada jam 12.53 tengah malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 10:50 PM