Kerjasama Alphabet, Google lancar transisi teknologi negara, tambah peluang pekerjaan - PM Anwar | Nasional | Berita HarianKerjasama Alphabet, Google lancar transisi teknologi negara, tambah peluang pekerjaan - PM Anwar | Berita Harian
Isnin, 6 Mei 2024 | 4:06pm
Perdana Menteri ketika menyertai persidangan secara maya bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat hari ini. - PMO
Perdana Menteri ketika menyertai persidangan secara maya bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat hari ini. - PMO

Kerjasama Alphabet, Google lancar transisi teknologi negara, tambah peluang pekerjaan - PM Anwar

KUALA LUMPUR : Komitmen pelaburan syarikat gergasi teknologi, Alphabet Inc (Alphabet) dan Google ke Malaysia akan membuahkan hasil terutamanya bagi melancarkan perancangan transisi teknologi negara serta pewujudan peluang pekerjaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, usaha itu diharap dapat dijayakan hasil persidangan secara maya beliau bersama Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet dan Google, Ruth Porat hari ini.

"Perbincangan kami turut menyentuh kepentingan kerjasama dan dukungan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) terkait sektor pendidikan, kesihatan dan pertanian.

"Saya tegaskan bahawa ikhtiar-ikhtiar ini akhirnya perlu membawa manfaat ekonomi dan sosial yang menyeluruh tanpa meninggalkan mana-mana kelompok masyarakat terutamanya dari segi literasi teknologi," katanya di Facebook hari ini.

Beliau berkata, dalam persidangan maya itu, Ruth memaklumkan kemajuan rangka tindakan bidang-bidang yang boleh diperluas syarikatnya di Malaysia, berdasarkan penerangan terdahulu terkait misi dan tumpuan kerajaan Malaysia.

"Alphabet dan Google amat mengalu-alukan kepimpinan, komitmen dan kepantasan pemudah cara yang telah diberikan Kerajaan Malaysia sejak pertemuan lalu," katanya.

Beliau berkata, sesi persidangan secara maya itu diadakan susulan daripada pertemuan mereka di Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.

Minggu lalu, Anwar turut mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dibuat satu lagi gergasi teknologi, Microsoft dalam tempoh empat tahun akan datang, pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh syarikat itu selepas bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama syarikat teknologi gergasi, Google pada 6 Mei lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat secara dalam talian bersama syarikat teknologi gergasi, Google pada 6 Mei lalu.

Komitmen itu disampaikan kepadanya ketika pertemuan bersama Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya.

Pelaburan berterusan Microsoft Corporation di Malaysia, termasuk terbaru Alphabet dan Google secara langsung menyerlahkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan digital utama dengan ekosistem menarik untuk syarikat yang ingin menubuhkan operasi di rantau ini.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataan sebelum ini menyatakan komitmen teguh Malaysia terhadap infrastruktur digital telah meletakkan asas yang kukuh ke arah usaha melaksanakan pendigitalan.

Komitmen ini disokong sejumlah besar pelaburan digital yang diluluskan iaitu sebanyak RM144.7 bilion dari 2021 hingga 2023, termasuk RM114.7 bilion yang diperuntukkan kepada infrastruktur.