UMNO 78 Tahun: ‘Menjadi Hebatnya Kemerdekaan Itu Kerana UMNO’ – Azhar

KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ulang tahun UMNO ke-78 pada 11 Mei adalah simbolik dan ruang terbaik untuk pendukung parti bersama mengukuhkan parti keramat ini.

Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata UMNO bukanlah parti setahun jagung sebaliknya memainkan peranan besar kepada kemerdekaan negara.

Katanya, melalui UMNO lahirnya tokoh-tokoh politik yang berwibawa, sehinggakan mereka menjadikan parti keramat ini sebagai medan membela agenda agama, bangsa dan negara.

“Wadah perjuangan ini bukan lahirnya setahun jagung. UMNO dilahirkan walaupun nama berbeza sebelum kemerdekaan, membina kemerdekaan dan melaksana kemerdekaan.

“Menjadi hebatnya kemerdekaan itu tak lain dan tak bukan adalah UMNO,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Dalam pada itu beliau yang merupakan Ahli Dewan Negara berkata sebagai parti yang berpengalaman mengemudi negara sudah pastinya perlu untuk UMNO dominan semula dalam mendukung perjuangan seperti mana yang telah termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

Mengulas lanjut Azhar berkata dalam melayari pelbagai cabaran politik, UMNO sebagai parti Melayu terbesar perlu bangkit bagi memastikan parti ini terus menjadi pengharapan rakyat seperti suatu ketika dahulu.

“Saya impikan UMNO terus memimpin negara, terus menjadi sebuah parti yang dominan. Sebuah parti yang mendukung cita rasa yang terkandung dalam perlembagaan UMNO itu sendiri… mendukung Islam, mendukung bangsa Melayu dan raja.

“Pada masa yang sama menjaga, menyantuni semua penduduk berbilang kaum di Malaysia ini berasaskan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Dan menjadikan parti ini sampai bila-bila sebuah parti yang disebut parti keramat kepada orang Melayu.

“Namun apa yang ada sekarang ini yang penting jaga elok-elok. Kita ada timbalan perdana menteri, menteri-menteri. Berdoa banyak-banyak, bersedia kuat untuk parti dan insya-Allah sampai masa pilihan raya, kita masuk pilihan raya bergaya dan kita menang bergaya untuk UMNO dominan semula,” ujar beliau.

Untuk rekod UMNO menyambut Ulang Tahun UMNO yang ke-78 pada 11 Mei 2024 yang akan diadakan serentak di seluruh negara melalui Badan Perhubungan UMNO Negeri-Negeri, manakala di peringkat Pusat, UMNO Malaysia bersama UMNO Wilayah Persekutuan akan menganjurkan secara bersama di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Intipati upacara tersebut ialah majlis solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bertempat di Dewan Tun Hussein Onn.

Sambutan ini juga diadakan secara serentak sebagai platform mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli parti.

Ulang tahun UMNO yang disambut setiap tahun pada 11 Mei merupakan manifestasi ahli parti dalam menunjukkan semangat perjuangan parti tidak pernah luntur dalam meniti usia emas parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.