Guru korban elaun demi ceriakan sekolah, wujud 'kafe hipster' buat murid | Harian Metro
Muhamad Tarmizi berjaya mengubah persekitaran SK Kut, Pulau Bruit, Daro. FOTO IHSAN MUHAMAD TARMIZI
Muhamad Tarmizi berjaya mengubah persekitaran SK Kut, Pulau Bruit, Daro. FOTO IHSAN MUHAMAD TARMIZI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan bukan mudah khususnya di sekolah pedalaman kerana banyak kekangan harus dihadapi.

Namun dengan hasrat ingin melihat bangunan sekolah kusam menjadi bertukar ceria, seorang guru bukan saja sanggup mengorbankan masa malah mengeluarkan wangnya sendiri bagi menukar 'wajah' sekolahnya di Pulau Bruit dalam daerah Daro, Mukah.

Guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Kut itu, Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob berkata, ketika mula ditugaskan di sekolah berkenaan pada 2019, hati beliau terdetik untuk membuat sesuatu yang boleh menceriakan suasana kelas serta persekitaran.

Menurut Muhamad Tarmizi yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan, sebaik menjejakkan kaki di SK Kut, beliau terpesona melihat persekitaran sekolah itu yang terletak di tebing sungai.

Malah beliau turut tertarik dengan kehidupan seharian penduduk yang mencari rezeki dengan menangkap ketam dan udang.

"Melihat persekitaran yang menarik itu, timbullah idea saya untuk mengubah bangunan sekolah menjadi lebih ceria dan cadangan saya diterima rakan guru lain serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Seramai 10 guru dan kakitangan sekolah menyokong dan bersama saya mencantikkan sekolah bermula kerja mengecat hinggalah menghias kawasan sekolah," katanya ketika dihubungi.

Muhamad Tarmizi berkata, beliau menggunakan wang elaun sekolah pedalaman yang diterimanya untuk membeli cat bagi mencantikkan bahagian dalam kelas manakala wang sumbangan PIBG pula digunakan bagi membeli cat untuk keseluruhan bangunan.

"Jumlah sebenar keseluruhan kos untuk mencantikkan kelas saya tak pasti, tetapi agak banyak jugalah," katanya.

Selepas persekitaran diubah dengan cat yang menarik, beliau mendapat idea untuk memberi pengalaman baru kepada 32 murid sekolah berkenaan dengan mewujudkan 'kafe hipster' pula.

"Kebanyakan murid tidak pernah merasai pengalaman masuk ke kafe kerana mereka yang tinggal di pulau jarang ke pekan, jadi saya wujudkan 'The Cafe Class' untuk memberi pengalaman baru yang menyeronokkan kepada semua murid sekali gus mendorong mereka untuk rajin ke sekolah.

"Pagi-pagi mereka diamanahkan menjaga kafe dan mengambil kehadiran. Di dalam kafe itu ada juga konsep sedekah saya namakan 'food for you' yang mana saya meletakkan makanan dan murid yang tidak sempat bersarapan boleh mengambil makanan itu," katanya.

Menurutnya, kafe kelas itu mula dibina pada Mei tahun lalu dan siap pada April lalu dengan barangan dibeli sedikit demi sedikit termasuk ada yang dibelinya setiap kali balik Semenanjung.

"Saya mengangkut barang-barang untuk mencantikkan sekolah serta barang di kafe itu menggunakan motosikal dari pekan Daro yang menempuh perjalanan selama dua jam termasuk menggunakan feri," katanya.

Menurutnya, untuk meningkatkan kehadiran di sekolah kurang murid itu, beliau dan Guru Besar SK Kut, Fariah Hanikal mendapat idea untuk membuat program 'satu murid satu kobis'.

"Menerusi program itu, setiap murid menjaga sendiri pokok kobis mereka dari menyiram, membaja hinggalah menjual hasilnya.

"Kami melakukan ini untuk mendidik murid supaya menjaga amanah dan yang paling penting agar mereka seronok ke sekolah kerana jika mereka tidak datang ke sekolah, pokok kobis mereka mungkin akan mati.

"Alhamdulillah dengan persekitaran yang ceria selain adanya tarikan seperti kafe dan kebun kobis itu, murid menikmati pembelajaran yang menyeronokkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 4:34 PM