Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura Yang Baharu - M-Update

Input your search keywords and press Enter.

Lawrence Wong, Perdana Menteri Singapura Yang Baharu

M Update, 16/05/2024 – Lawrence Wong mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keempat Singapura di Istana, malam tadi.

Wong, 51, yang juga Menteri Kewangan menggantikan Lee Hsien Loong, 74, yang menerajui republik itu hampir dua dekad.

Majlis mengangkat sumpah itu dilakukan di hadapan Ketua Hakim Singapura, Sundaresh Menon dan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana. Turut mengangkat sumpah ialah barisan kabinet baharu termasuk bekas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong serta Teo Chee Hean yang kini menjawat jawatan sebagai Menteri Kanan, dan Gan Kim Yong serta Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Kemudian 14 menteri,  sembilan Menteri Negara Kanan dan lima Menteri Negara mengangkat sumpah. Seorang lagi Menteri Negara, Murali Pillai akan dilantik dan mengangkat sumpah pada 1 Julai.  

Wong berkata, beliau merupakan Perdana Menteri pertama yang lahir selepas kemerdekaan Singapura, termasuk sebahagian besar ahli Kumpulan 4G, dan beliau akan memimpin Singapura dengan cara tersendiri, tanpa mengabaikan nilai utama seperti bebas rasuah, meritokrasi, pelbagai kaum, keadilan dan kesaksamaan.

Tegasnya lagi, beliau sama sekali tidak akan berpegang kepada status quo, tetapi terus berusaha mewujudkan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Singapura.

Pada 13 Mei lalu, Hsien Loong secara rasmi memaklumkan kepada Presiden, Tharman Shanmugaratnam mengenai hasratnya untuk meletak jawatan dan menasihatkan presiden untuk menjemput Wong, yang mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Parlimen membentuk kerajaan seterusnya.