PENYAMPAIAN SUMBANGAN KEMATIAN DAN PENYERAHAN BENDERA TUDM KEPADA WARIS ALLAHYARHAM LT KOL MOHD ZAMRI BIN IBRAHIM TUDM

2 2

 

KUALA LUMPUR, 27 Januari 2021 – Ibarat pepatah “Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul’, begitulah yang berlaku kepada adik Muhamad Azim Syahmi, 19 tahun dan Muhamad Akif Danish, 13 tahun. Mereka berdua telah kehilangan orang tersayang iaitu bapa mereka, Allahyarham Lt Kol Mohd Zamri bin Ibrahim TUDM yang telah kembali ke rahmatullah pada 24 Januari 2021 baru-baru ini. Lebih meninggalkan kesan kerana kedua beradik ini juga telah kehilangan ibu, Allahyarhamah Roslinda binti Rosdi yang telah meninggal dunia pada 4 Julai 2019 akibat sakit kanser.

Sebagai organisasi yang prihatin dan mengutamakan kebajikan warga TUDM termasuk keluarga, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal bin Hj Abdul Samad TUDM telah menyampaikan sumbangan kematian kepada waris Allahyarham. Panglima Tentera Udara turut menyerahkan Bendera TUDM kepada waris Allahyarham sebagai lambang kemegahan dan tanda penghormatan TUDM di atas segala jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan oleh Allahyarham sepanjang berkhidmat di dalam perkhidmatan TUDM khususnya dan ATM amnya.

Turut bersama Panglima Tentera Udara ketika bertemu waris Allahyarham ialah Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM menzahirkan penghargaan dan keprihatinan TUDM kepada keluarga Allahyarham yang kali terakhir bertugas di MTU-Perancangan dan Pembangunan.

Seluruh warga TUDM merakamkan ucapan takziah kepada waris di atas pemergian insan tersayang. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama hambaNya yang beriman.