Kerajaan Sarawak akan turut laksana pelarasan gaji Penjawat Awam Sarawak: Abang Johari | Utusan Borneo Online

Anda di sini

Kerajaan Sarawak akan turut laksana pelarasan gaji Penjawat Awam Sarawak: Abang Johari

Advertisement
 

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan turut melaksanakan pelarasan gaji bagi Penjawat Awam Sarawak selaras dengan langkah yang diambil kerajaan persekutuan. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat menghargai komitmen dan pengorbanan seluruh Penjawat Awam Sarawak.

"Dua minggu yang lepas, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan kenaikan gaji melebihi 13 peratus untuk Penjawat Awam Persekutuan, mulai Disember tahun ini. 

"Kerajaan GPS menerima baik pengumuman ini dan akan turut melaksanakan pelarasan gaji untuk Penjawat Awam Sarawak.

"Ini kerana kerajaan GPS sangat menghargai komitmen dan pengorbanan seluruh Penjawat Awam Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Abang Johari bagaimanapun berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedang menjalankan kajian terperinci mengenai pelarasan gaji Penjawat Awam Sarawak agar ia lebih kompetitif, selaras dengan tugas dan tanggungjawab mereka serta kekuatan kewangan kerajaan Sarawak.

"Insya-Allah, saya akan mengumumkan hasil kajian ini dalam tempoh terdekat tertakluk kepada perincian pelarasan gaji yang akan dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan yang dijangka diketahui hanya dalam bajet persekutuan hujung tahun ini," katanya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) mengumumkan penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji melebihi 13 peratus mulai 1 Disember depan.

Perdana Menteri memaklumkan, sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan MADANI akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

"Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus.

"Maka, kita akan melaksanakan kenaikan (gaji penjawat awam) mulai 1 Disember tahun ini... sebab saya sudah berjanji," katanya.

Anwar berkata, pelarasan gaji penjawat awam itu akan membabitkan peruntukan mencecah lebih RM10 bilion berikutan jumlah kenaikan yang besar dan terbaik dalam sejarah negara.

Beliau menjelaskan dengan pelarasan itu nanti, pendapatan minimum penjawat awam merangkumi gaji dan elaun tetap, perlu melebihi RM2,000 sebulan.

  • oleh
  • Advertisement