KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang wanita berusia 25 tahun dan dua anaknya yang dilaporkan hilang dari sebuah rumah perlindungan di Selangor Jumaat lepas (10 Mei).

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata wanita dikenali Nur Aishah Abd Samad yang ditempatkan di rumah perlindungan itu berkait kes keganasan rumah tangga bersama dua anak berusia lima dan tiga tahun, disedari hilang kira-kira 4.30 petang pada hari kejadian.

"Wanita itu memberi alasan hendak pergi ke masjid berhampiran bagi menunaikan solat. Bagaimanapun dia tidak pulang menyebabkan rumah perlindungan itu membuat laporan polis di Balai Polis Sea Park pada keesokan hari," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata wanita berkenaan dan dua anaknya dihantar ke rumah perlindungan itu oleh Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Shah Alam kerana dipercayai menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

"Wanita itu dilaporkan dipukul oleh suaminya pada 2 Mei lepas di sebuah kedai makan di Shah Alam dan kemudian dihantar ke Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam oleh orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan," katanya.

Shahrulnizam berkata Nur Aishah berketinggian 168 sentimeter, seberat 50 kilogram, berkulit hitam manis serta bertudung.

Berikutan itu, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan wanita terbabit diminta tampil menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Safuan Alias menerusi talian 011-1025 5725 atau 03-7874 2222.

-- BERNAMA