BERNAMA - KERAJAAN PERLU JANA LEBIH HASIL UNTUK TAMPUNG PERBELANJAAN KENAIKAN GAJI, FAEDAH - RHB RESEARCH
  BERITA TERGEMPAR   Manufacturing sector increased by 1.9 per cent in 1Q 2024 after recording a contraction of 0.3 per cent in the previous quarter -- DOSM | 
 EKONOMI > BERITA

KERAJAAN PERLU JANA LEBIH HASIL UNTUK TAMPUNG PERBELANJAAN KENAIKAN GAJI, FAEDAH - RHB RESEARCH

17/05/2024 03:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Bernama) -- RHB Research berkata peningkatan perbelanjaan emolumen daripada kenaikan gaji penjawat awam boleh dibiayai melalui kutipan hasil yang lebih tinggi, penjimatan daripada rasionalisasi perbelanjaan mengurus (OE) serta pertambahan dalam pinjaman kerajaan.

Firma penyelidikan itu melalui satu nota hari ini berkata memandangkan sejumlah besar bahagian OE dikhususkan untuk emolumen, rasionalisasi perbelanjaan subsidi termasuk pelaksanaan langkah cukai baharu adalah perlu bagi mengimbangi lonjakan kos operasi dan pengurusan hutang negara.

Imbuhan penjawat awam akan dinaikkan sekurang-kurangnya 13 peratus, berkuat kuasa 1 Dis 2024. Kenaikan gaji itu diunjurkan menelan belanja lebih RM10 bilion setahun.

"Dengan mengandaikan bahawa peruntukan untuk emolumen dinaikkan sebanyak RM10 bilion menjelang 2025, jumlah peruntukan untuk emolumen bagi tahun itu dijangka sekurang-kurangnya RM105.6 bilion berbanding RM95.6 bilion yang diunjurkan untuk 2024," katanya.

RHB Research berkata terdapat potensi kekurangan kira-kira RM4 bilion selepas mengambil kira potensi sumber hasil (semakan dalam cukai perkhidmatan, cukai barang bernilai rendah (LVGT) dan kutipan cukai barang bernilai tinggi (HVGT)) serta penjimatan daripada rasionalisasi subsidi bahan api.

Berdasarkan perkembangan baru-baru ini, tambahan RM3.2 bilion dijangka akan dipungut daripada hasil cukai perkhidmatan yang lebih tinggi dan pelaksanaan LVGT.

Semakan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus pada 1 Mac 2024, diramalkan menjana pendapatan tambahan sebanyak RM3.0 bilion.

Sementara itu, pelaksanaan LVGT pada 1 Jan 2024, dianggarkan menjana kutipan hasil berjumlah RM0.2 bilion untuk tahun pertama pelaksanaan.

Selain itu, HVGT yang dirancang agar mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak RM0.7 bilion setahun jika ia dikuatkuasakan bermula 1 Mel lepas telah ditangguhkan.

RHB Research berkata penyingkiran sepenuhnya subsidi diesel akan membawa kepada potensi penjimatan sebanyak RM8.95 bilion setahun.

Sementara itu, potensi penjimatan daripada penarikan sepenuhnya subsidi RON95 akan menyumbang kepada penjimatan RM13.7 bilion.

Buat masa ini, tiada keputusan muktamad dibuat mengenai pemotongan subsidi bahan api Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial