Berita

Keputusan SPM 2023 diumum 27 Mei

KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 akan diumumkan Isnin, 27 Mei ini, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Semua calon sekolah boleh mendapatkan keputusan SPM 2023 daripada sekolah masing-masing mulai pukul 10 pagi pada tarikh tersebut.

“Seramai 395,870 calon yang mendaftar bagi menduduki peperiksaan itu di 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.

“Bagi calon persendirian, keputusan peperiksaan akan dihantar melalui pos atau calon boleh menghubungi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) tempat mendaftar bagi menduduki peperiksaaan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, calon sekolah dan calon persendirian, mereka boleh membuat semakan keputusan peperiksaan melalui beberapa kaedah antaranya secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my.

“ Untuk mendapatkan slip keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 mulai pukul 10 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6 petang pada 02 Jun 2024.

“Selain itu, ia boleh diperoleh secara sistem pesanan ringkas (SMS) untuk mendapatkan ringkasan keputusan peperiksaan SPM Tahun 2023 dengan menaip SPMNoKPAngkaGiliran dan hantar ke 15888,” katanya.

Perkhidmatan berkenaan akan diaktifkan mulai pukul 10 pagi pada 27 Mei 2024 sehingga pukul 6 petang pada 2 Jun 2024.

Dalam pada itu, KPM mengucapkan tahniah kepada semua calon atas keputusan peperiksaan SPM 2023.

Semoga kejayaan yang diraih menjadi pemangkin untuk terus cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara pada masa hadapan. – Malaysia MADANI