SPP Bil.04/2008 Pekeliling Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan - Pekeliling Terbaru Kerajaan

SPP Bil.04/2008 Pekeliling Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan

Pekeliling Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan

Tujuan Pekeliling Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjelaskan kaedah pelarasan gaji yang akhir diterima oleh pegawai yang berada di gred jawatan kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) apabila bersara. Kaedah ini juga diguna pakai kepada pegawai yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan dan layak menerima faedah persaraan.

Definisi

Dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini,

gaji yang akhir diterima” bermaksud gaji hakiki bulanan yang akhir diterima oleh pegawai pada tarikh sehari sebelum persaraannya atau pada tarikh kematian dalam perkhidmatan bagi maksud bayaran faedah persaraan.

gred jawatan sekarang” bermaksud gred jawatan hakiki pegawai setelah dinaikkan pangkat, ditukar lantik atau KPSL.

gred jawatan sebelumnya” bermaksud gred jawatan hakiki pegawai sebelum dinaikkan pangkat, ditukar lantik atau KPSL.

Latar Belakang

Kerajaan telah mengenal pasti bahawa terdapat keadaan di mana pegawai yang dinaikkan pangkat, ditukar lantik atau dilantik secara KPSL apabila bersara atau meninggal dunia dalam perkhidmatan menerima gaji yang lebih rendah berbanding sekiranya kekal dan bersara atau meninggal dunia di gred jawatan sebelumnya.

Contoh-contoh keadaan pegawai yang menerima gaji rendah adalah seperti berikut:

a. bagi pegawai yang bersara di gred kenaikan pangkat menerima gaji rendah apabila bersara berbanding sekiranya kekal di gred jawatan sebelumnya seperti di Jadual (a) Lampiran A1 dan A2;

b. bagi pegawai yang bersara di gred pertukaran pelantikan menerima gaji rendah apabila bersara berbanding sekiranya kekal di gred jawatan sebelumnya seperti di Jadual (a) Lampiran A3 dan A4; dan

c. bagi pegawai yang bersara di gred KPSL menerima gaji rendah apabila bersara berbanding sekiranya kekal di gred jawatan sebelumnya seperti di Jadual (a) Lampiran A5 dan A6.

Sehubungan dengan itu, bagi maksud bayaran faedah persaraan pegawai, Kerajaan bersetuju gaji yang akhir diterima oleh pegawai yang terlibat diselaraskan ke matagaji yang sama atau tertinggi berhampiran dengan gaji yang sepatutnya diterima oleh pegawai sekiranya kekal di gred jawatan sebelumnya.

Pelaksanaan

Pegawai yang Layak

Pegawai yang bersara pada atau selepas 2 November 2002 di bawah Akta Pencen 1980 (Akta 227) dalam salah satu keadaan berikut:

a. bersara wajib di bawah seksyen 10(1) atau 10(3); atau
b. bersara atas sebab kesihatan di bawah seksyen 10(5)(a); atau
c. bersara atas sebab penghapusan jawatan di bawah seksyen 10(5)(b); atau
d. bersara atas sebab penyusunan semula organisasi di bawah seksyen 10(5)(c); atau
e. bersara atas alasan kepentingan negara di bawah seksyen 11(a)(i) atau seksyen 11(b)(i); atau
f. bersara demi kepentingan perkhidmatan awam di bawah seksyen 11(a)(ii) atau 11(b)(ii); atau
g. bersara berkaitan dengan penswastaan/ pengkorporatan agensi kerajaan di bawah seksyen 12 atau seksyen 12A; atau
h. bersara di bawah seksyen 6A(5) atau 6A(5A) atau 6A(6) bagi pegawai yang tertakluk kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Pegawai yang meninggal dunia dalam perkhidmatan pada atau selepas 1 November 2002.

Pegawai Yang Tidak Layak

Pegawai yang tidak layak adalah pegawai yang:

a. bersara secara pilihan di bawah seksyen 12 Akta Pencen (Akta 227), iaitu bukan berkaitan dengan penswastaan/ pengkorporatan; atau
b. bersara atas alasan pekerjaan pegawai telah ditamatkan demi kepentingan awam di bawah seksyen 10(5)(d) Akta 227; dan/ atau
c. bercuti tanpa gaji sehingga tarikh terakhir dalam perkhidmatan.

Peraturan di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini tidak terpakai bagi pegawai yang dijatuhkan hukuman tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993[P.U.(A)395/1993] yang mengakibatkan gaji yang akhir diterima rendah berbanding sekiranya kekal dan bersara di gred jawatan sebelumnya.

Prinsip Pemindahan Gaji

Gaji yang akhir diterima oleh pegawai hendaklah diselaraskan ke matagaji yang sama atau matagaji tertinggi berhampiran dengan gaji yang sepatutnya diterima di gred jawatan sebelumnya pada tarikh sehari sebelum pegawai bersara atau pada tarikh pegawai meninggal dunia.

Kaedah Pelarasan Gaji

Pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan di gred jawatan sekarang setelah mengambil kira penetapan gaji yang akan diterima oleh pegawai sekiranya kekal dan bersara atau meninggal dunia di gred jawatan sebelumnya. Penetapan gaji di gred jawatan sebelumnya hendaklah berdasarkan kepada Pergerakan Gaji Biasa mengikut Peringkat (P) gaji pegawai.

Sekiranya matagaji mengikut Peringkat (P) gred jawatan sekarang tidak dapat menampung gaji yang sepatutnya diterima di gred jawatan sebelumnya, pelarasan gaji boleh dibuat di Peringkat (P) berikutnya berdasarkan kepada prinsip di perenggan 10. Jika matagaji gred jawatan sekarang tidak dapat menampung gaji gred jawatan sebelumnya, maka Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada Bahagian Gaji dan Elaun, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Contoh-contoh pelarasan gaji yang akhir diterima adalah seperti berikut:

a. bagi pegawai yang bersara di gred kenaikan pangkat diselaraskan ke matagaji yang sama atau matagaji tertinggi berhampiran di gred jawatan sekarang seperti di Jadual (b) Lampiran A1 dan A2;

b. bagi pegawai yang bersara di gred pertukaran pelantikan diselaraskan ke matagaji yang sama atau matagaji tertinggi berhampiran di gred jawatan sebelumnya seperti di Jadual (b) Lampiran A3 dan A4; dan

c. bagi pegawai yang bersara di gred KPSL diselaraskan ke matagaji yang sama atau matagaji tertinggi berhampiran di gred jawatan sekarang seperti di Jadual (b) Lampiran A5 dan A6.

Tanggungjawab Ketua Jabatan

Bagi pegawai yang akan bersara, Ketua Jabatan hendaklah:

a. mengenal pasti pegawai yang layak diberi pelarasan gaji seperti yang dinyatakan di perenggan 6 di atas;

b. mengenal pasti gred dan matagaji gred jawatan sekarang, iaitu sama ada di gred kenaikan pangkat atau pertukaran pelantikan atau KPSL;

c. mengenal pasti gred dan matagaji mengikut Peringkat (P) gaji pegawai sebelum kenaikan pangkat atau pertukaran pelantikan atau KPSL untuk menentukan gaji di gred jawatan sebelumnya berdasarkan Pergerakan Gaji Biasa mengikut Peringkat (P) gaji pegawai sehari sebelum bersara;

d. amaun gaji di gred jawatan sebelumnya diselaraskan ke matagaji yang sama atau matagaji tertinggi berhampiran dengan matagaji mengikut Peringkat (P) gaji gred jawatan sekarang;

e. mengemas kini maklumat gaji di dalam Kenyataan Perkhidmatan pegawai dengan membuat pelarasan gaji seperti yang dinyatakan di perenggan 10 hingga 12 di atas, yang mana berkaitan;

f. mengemukakan dokumen berkaitan pelarasan gaji serta sebarang tambahan caruman pegawai kepada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi pegawai yang tertakluk kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja; dan

g. mengemukakan dokumen berkaitan pelarasan gaji berserta dokumen-dokumen persaraan ke Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk proses bayaran faedah persaraan bagi pegawai yang tertakluk kepada Skim Pencen.

Bagi pegawai yang telah bersara atau meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan, Ketua Jabatan hendaklah:

a. mengenal pasti pegawai yang layak diberi pelarasan gaji seperti yang dinyatakan di perenggan 6 dan 7 di atas;

b. mengemas kini maklumat gaji di dalam Kenyataan Perkhidmatan pegawai dengan membuat pelarasan gaji seperti yang dinyatakan di perenggan 10 hingga 12 di atas, yang mana berkaitan;

c. mengemukakan dokumen berkaitan pelarasan gaji serta sebarang tambahan caruman pegawai kepada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi pegawai yang tertakluk kepada Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk tujuan pelarasan jumlah caruman keseluruhan pegawai; dan

d. mengemukakan dokumen berkaitan pelarasan gaji tersebut ke Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pengiraan semula faedah-faedah persaraan bagi pegawai yang tertakluk kepada Skim Pencen.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 November 2002.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.04/2008 Pekeliling Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan kaedah pelarasan gaji yang akhir diterima oleh pegawai yang berada di gred jawatan kenaikan pangkat, pertukaran pelantikan atau Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) apabila bersara. Kaedah ini juga diguna pakai kepada pegawai yang meninggal dunia semasa dalam perkhidmatan dan layak menerima faedah persaraan.

Nama Pekeliling : Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.04/2008 Pekeliling Pelarasan Gaji Yang Akhir diterima Bagi Pegawai yang Bersara atau Meninggal Dunia dalam Perkhidmatan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment