BERNAMA Radio - CUEPACS YAKIN SEMUA PENJAWAT AWAM SEDIA TERIMA TEGURAN
 AM

CUEPACS YAKIN SEMUA PENJAWAT AWAM SEDIA TERIMA TEGURAN

18/05/2024 05:48 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin semua penjawat awam bersedia untuk menerima teguran daripada semua pihak termasuk pemimpin kerajaan dan menyelesaikan setiap permasalahan yang mungkin timbul.  

Presiden Cuepacs Datuk Dr Adnan Mat berkata setiap pandangan terhadap penjawat awam bertujuan untuk memperbaiki atau menambah baik sesuatu perkara yang mungkin terdapat kelemahan.

“Cuepacs menerima dengan hati yang terbuka setiap teguran yang dibuat oleh semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin kerajaan kepada penjawat awam dalam perkara berkaitan menambah baik mutu penyampaian perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau juga menasihatkan para pemimpin agar bertindak sebagai satu pasukan yang sentiasa melengkapi kerana pemimpin dan penjawat awam sentiasa memerlukan antara satu sama lain.

“Jika terdapat kelemahan dalam mutu perkhidmatan, tegur dan nasihatlah secara berhadapan. Ia suatu perkara yang wajar dan boleh diterima.

“Tidak perlu sesuatu teguran itu disusuli dengan rakaman yang kemudiannya dimuat naik ke dalam sosial media hanya semata-mata untuk memberi makluman bahawa kita sudah membuat kerja dengan baik,” katanya.

Adnan berkata tindakan untuk merakam dan memuat naik sesuatu perkara atau permasalahan yang timbul bukanlah suatu tindakan yang tepat dan sesuai, apatah lagi sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin daripada kerajaan yang turut mempunyai jawatan.

“Jika ada kelemahan tegurlah secara berhemah dengan saluran yang betul dalam mencari solusi persefahaman yang terbaik. Tidak perlulah menjadikan semua perkara sebagai bahan kandungan sosial media yang akhirnya memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya berharap agar semua pihak tidak menjadikan sedikit kelemahan itu sebagai peluang untuk meraih populariti tetapi bersama-sama untuk menyelesaikan sesuatu perkara yang timbul. 

“Cuepacs beri jaminan kepada penjawat  awam akan terus kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara. Cuepacs menyeru semua penjawat awam sentiasa meletakkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebagai keutamaan yang tertinggi,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial yang memaparkan Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak tindakan Jabatan Agama Islam Melaka yang tidak menyelesaikan isu pembelian kerusi meja dalam bilik darjah kepada murid sekolah agama di sebuah daerah negeri itu.

-- BERNAMA