UMPSA berperanan sebagai teras kepada sistem universiti teknikal negara seterusnya melengkapkan aliran pendidikan teknikal Malaysia. Gambar kecil: Ahmad Ziad
UMPSA berperanan sebagai teras kepada sistem universiti teknikal negara seterusnya melengkapkan aliran pendidikan teknikal Malaysia. Gambar kecil: Ahmad Ziad

UMPSA tawar program TVET di Borneo secara kampus pesisir

20 May 2024 01:34pm
A
A
A

Pelaksanaan konsep Malaysia Madani turut menyentuh keperluan meneroka aspek pendidikan adalah usaha meningkatkan martabat rakyat dan negara ini bagi memastikan ilmu menjadi keutamaan sekali gus melahirkan masyarakat yang tinggi dengan budaya ilmu.

Ini termasuklah melaksanakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berimpak tinggi secara holistik.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang merupakan salah sebuah universiti teknikal di bawah Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) berperanan sebagai teras kepada sistem universiti teknikal negara seterusnya melengkapkan aliran pendidikan teknikal Malaysia.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) UMPSA, Profesor Ir Ts Dr Ahmad Ziad Sulaiman, menggalas cabaran besar sebagai pelengkap kepada sistem pendidikan sedia ada tidak mudah.

“Walaupun masa bergerak pantas seiring mencapahnya (berkembang) teknologi terkini, namun persepsi sebagai pilihan kedua, yang secara langsung turut menghukum bersama TVET memerlukan MTUN terus berjuang tanpa kenal erti putus asa untuk mengangkasa kecemerlangan TVET demi menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia.

“Lantas, strategi dan pelbagai inisiatif penambahbaikan kualiti berterusan (CQI) tidak boleh bertemu noktah, terus bugar digerakkan agar amanah besar negara ini dapat dilunaskan sebaiknya,” katanya.

Ahmad Ziad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Akademik & Antarabangsa MTUN berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sangat memberi perhatian dan komitmen besar terhadap bidang pendidikan tinggi terutama di Borneo agar setiap agenda pendidikan tinggi negara tidak tercicir dan dapat dinikmati setiap rakyat di Sabah dan Sarawak.

No Image Caption

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk komitmen KPT dalam melebar-luaskan agenda pendidikan TVET peringkat tinggi (Sarjana Muda, Sarjana dan PhD) yang sedang dilaksanakan oleh empat buah Universiti Teknikal di bawah MTUN dapat dimaksimakan.

“Berdasarkan kepada lawatan mantan Menteri Pendidikan Tinggi ke UMPSA pada 5 Julai 2023 lalu dan komitmen ini diteruskan lagi di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang telah mengesyorkan agar MTUN mempertingkatkan peratusan pelajar mengikuti program berasaskan TVET dengan mempertimbangkan penawaran program-program akademik berasaskan TVET di UMPSA dan MTUN ke Sabah dan Sarawak.

“Ia sebagai salah satu usaha untuk memberi kemudahan dan melebarkan akses pendidikan kepada anak-anak di negeri itu bagi mengikuti program-program berasaskan TVET melalui pelbagai kaedah termasuk penubuhan kampus pesisir di Sabah dan Sarawak,” ujar beliau.

Hasil saranan itu, beliau berkata, KPT menetapkan satu hala tuju yang jelas di bawah hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 di bawah dasar perluasan kampus dan perluasan akses kemasukan pelajar TVET.

Di bawah hala tuju ini, KPT telah menetapkan enrolmen 150,000 pelajar TVET sehingga tahun 2030.

“Bagi mencapai tujuan ini, dasar perluasan kampus melalui kampus pesisir perlu dilaksanakan bagi memberikan maksimum akses kepada pelajar-pelajar di luar bandar dan golongan B40 di Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan akses pendidikan TVET ini.

“Sebelum 2019, peluang pelajar lepasan diploma TVET iaitu Diploma Kemahiran Malaysia (DKM), Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Awam (UA) adalah amat terhad,” tutur beliau.

Lanjut pengajian

Merujuk Pekeliling MQA Bil.9/2019, Pelaksanaan Laluan Pendidikan Graduan TVET: Penambahbaikan Laluan Pendidikan Graduan TVET, lepasan diploma TVET berpeluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi berdasarkan kesesuaian bidang dengan pindaan Syarat Kemasukan yang diluluskan oleh Senat Universiti.

UMPSA selaku MTUN universiti menyambut baik langkah ini dengan menawarkan pelbagai program Sarjana Muda Teknologi (BTech) yang bersesuaian dan khusus untuk pelajar lepasan Diploma TVET seperti bidang yang berkaitan dengan Teknologi Pembinaan Bangunan, Teknologi Automasi Elektronik Industri, Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik, Teknologi Penyelenggaraan Fasiliti Minyak dan Gas, Teknologi Kimpalan, Teknologi Pemesinan Industri dan Teknologi Automotif.

Pelajar lepasan diploma politeknik melalui kolaborasi strategik MTUN dan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah membuka peluang dan kesinambungan laluan akademik kepada pelajar Politeknik untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana muda (Teknologi Kejuruteraan) dalam bidang TVET.

Bidang TVET seperti Teknologi Kejuruteraan Awam, Teknologi Kejuruteraan Mekanikal, Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik dan Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif adalah antara program yang ditawarkan oleh pihak UMPSA.

Inisiatif ini telah direalisasikan melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JPPKK dan MTUN di Hotel Tenera, Bangi pada 2 Jun 2022.

MTUN juga perlu meningkatkan peratusan kemasukan para pelajar Lepasan Diploma Politeknik dan tidak hanya tertumpu kepada para pelajar Lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Matrikulasi dan Asasi sahaja.

No Image Caption

Jalin kerjasama strategik

UMPSA telah mengorak langkah awal dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan Yayasan Sabah dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk akademik, penyelidikan dan pemerkasaan mahasiswa.

“Bagi mencapai hala tuju MTUN TVET termaju 2030 ini, UMPSA telah memulakan gerakerja awal bersama UMS bagi penubuhan kampus pesisir di UMS bagi penawaran program-program akademik berteraskan TVET yang ditawarkan hanya di MTUN.

“Terdapat tujuh buah Kolej Vokasional (KV) di Sabah iaitu KV Sandakan, KV Kudat, KV Labuan, KV Beaufort, KV Tawau, KV Keningau dan KV Likas manakala enam KV di Sarawak iaitu KV Sibu, KV Kuching, KV Bintulu, KV Matang, KV Betong dan KV Miri menawarkan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) di mana lepasan DVM ini akan mengisi keperluan program akademik berasaskan TVET secara pesisir di kampus UMS dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Sarawak.

“UMPSA telah mengadakan sesi libat urus bersama UMS, UNIMAS, KV dan Majlis Pegawai Kaunseling Pendidikan Kolej Vokasional & Sekolah Menengah Teknik Malaysia (MAPEKA) bagi perlaksanaan penawaran program akademik berasaskan TVET ini di Borneo,” ujarnya lagi.

Sementara itu, pihak MAPEKA sangat mengalu-alukan inisiatif penawaran di Borneo kerana ia akan memberi banyak manfaat kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak terutamanya dari segi penjimatan kos perjalanan pelajar luar bandar ke semenanjung.

MAPEKA juga bersedia bekerjasama bersama UMPSA, UMS dan UNIMAS dengan menjadikan KV yang ada di Sabah dan Sarawak sebagai makmal pesisir bagi melaksanakan agenda ini.

Selain daripada KV, terdapat tiga buah politeknik di Sabah iaitu Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Tawau, Politeknik Sandakan manakala di Sarawak tiga politeknik iaitu Politeknik Metro Betong, Politeknik Mukah Sarawak dan Politeknik Kuching, Sarawak akan mengisi keperluan program akademik berasaskan TVET di Borneo.

Penawaran Program Asasi TVET di Politeknik merupakan program persediaan bagi pelajar-pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang TVET.

Asasi TVET ini bertujuan untuk memperluas akses pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memenuhi syarat-syarat ditetapkan untuk mengikuti program persediaan sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda khususnya dalam Ijazah Teknologi Kejuruteraan di MTUN.

Melalui program ini, persediaan awal dan berfokus dapat diberikan kepada pelajar yang cenderung dalam bidang TVET.

Sebagai permulaan, lima buah politeknik akan menjadi perintis bagi pengambilan pertama pada Sesi I 2023/2024 dengan 500 pelajar sebagai kumpulan pertama.

Pembangunan Kurikulum Program Asasi TVET direka bentuk dengan memberi penekanan kepada elemen amali dan praktikal manakala fokus bidang Asasi TVET yang ditawarkan mengikut keperluan industri semasa.

No Image Caption

Dengan adanya inisiatif TVET Borneo, penawaran program asasi TVET dapat dilaksanakan melalui politeknik-politeknik sebelum pelajar menyambung pengajian di kampus pesisir di Sabah dan Sarawak.

Sinergi ini amat penting dalam konteks kolaborasi strategik kepakaran tenaga akademik, peralatan dan teknologi antara UMS, UNIMAS, KV dan Politeknik dengan institusi TVET bersama pihak berkuasa wilayah ekonomi (Yayasan Sabah, Yayasan Sarawak) dan industri.

Simbiosis ekosistem TVET ini juga diyakini berupaya mengecilkan jurang permintaan dan meluaskan akses penawaran pekerjaan, penawaran gaji premium serta pastinya akan berupaya memperkukuh jenama TVET yang lebih berdaya saing sebagai pilihan generasi muda serta ibu bapa.

Pelan Strategik UMPSA 2021 - 2025

Menerusi Pelan Strategik UMPSA 2021 - 2025, penjajaran semula dilakukan selari dengan kontrak sosial baharu dalam pendidikan yang mahukan universiti bukan sekadar melahirkan modal insan untuk pasaran kerja, malah berperanan sebagai pengubah permainan demi kelestarian sejagat.

“Gelanggang permainan hari ini sangat berbeza, kepesatan dan pengaruh teknologi malah terkini cabaran kesihatan awam dunia misalnya dengan serangan Covid-19 tidak membolehkan bisnes berjalan secara biasa.

“Cara belajar, bekerja dan kehidupan semakin bergejolak, tidak pasti, kompleks dan kabur (VUCA).

“Justeru, inisiatif dan strategi perlu dibangunkan bagi memperluaskan akses Pendidikan dan pembelajaran bagi masyarakat luar bandar dan golongan B40 agar mereka tidak ketinggalan dan tercicir di dalam arus Pendidikan tinggi negara,” ujarnya.

No Image Caption

Akhirnya, melalui inisiatif ini ia sangat berpotensi untuk menjadikan Malaysia negara maju dan masyarakat berpendapatan tinggi berdasarkan kepada keseimbangan pendidikan yang diterima oleh segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Matlamat ini akan dapat dicapai melalui hala tuju yang jelas sepertimana yang digariskan di dalam hala tuju MTUN TVET Termaju 2030 bagi peningkatan enrolmen pelajar dalam bidang TVET ke peringkat pengajian yang lebih tinggi bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Melalui inisiatif perluasan kampus dan perluasan akses kemasukan pelajar melibatkan borneo, peluang pendidikan dan latihan teknikal yang disediakan kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak mampu menghasilkan pelbagai masyarakat yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok