BERNAMA - PIALA FA 2024: LALUAN MUDAH BUAT JUARA BERTAHAN JDT
SUKAN

PIALA FA 2024: LALUAN MUDAH BUAT JUARA BERTAHAN JDT

17/05/2024 01:15 AM

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat laluan mudah untuk mempertahankan kejuaraan Piala FA buat kali ketiga berturut-turut apabila menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di laman sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dalam pusingan 16 terbaik pada edisi 2024.

Melalui undian hari ini, juara Harimau Selatan dilihat meraih lawan mudah dengan mengetuai 12 lagi pasukan Liga Super lain serta tiga pasukan daripada Liga A1 Semi Pro pada pusingan kalah mati itu.

JDT pada musim lepas merangkul kejuaraan Piala FA setelah menumpaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 2-0 hasil jaringan jarak jauh Hong Wan dan ledakan, Leandro Velazquez.

Kedah Darul Aman (KDA) FC turut meraih laluan mudah berdepan cabaran wakil Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC sementara naib juara Piala FA KL City akan menentang Kuching City FC yang dibimbing pengendali dari Singapura, Aidil Sharin Sahak.

Selangor FC pula akan menguji Negeri Sembilan FC sementara Terengganu FC akan berdepan cabaran Perak FC.

PDRM FC pula hampir pasti tidak berdepan masalah mengatasi cabaran satu lagi wakil Liga A1 Semi Pro, Malaysian University.

Sri Pahang yang dibimbing Fandi Ahmad pula akan menghadapi saingan Penang FC sementara Sabah FC turut berdepan cabaran mudah bertemu Kuala Lumpur Rovers FC.

Perlawanan pusingan 16 Piala FA akan bermula pada 13 Jun ini dengan aksi final akan berlangsung pada Ogos.

Peringkat suku akhir dan separuh akhir dijalankan secara timbal balik.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan