SUBANG JAYA: Pengeluar kereta China, Beijing Automotive Group (BAIC) melancarkan dua model kereta penumpang pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu X55 dan BJ40 Plus.

Majlis pelancaran semalam dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof.

BAIC Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena majlis pelancaran tersebut berkata syarikat itu menyasar untuk membuka 10 cawangan pengedar di seluruh negara tahun ini dengan yang pertama dikendalikan oleh Edaran Otomobil Elektrik (M) Sdn Bhd.

BAIC yang merupakan salah satu pengeluar kereta terkemuka di China dengan jualan kenderaan terkumpul sebanyak 36 juta unit bersedia untuk mengembangkan pasarannya di Malaysia.

"Sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik di Asia Tenggara, BAIC merancang untuk mewujudkan rangkaian jualan dan perkhidmatan yang komprehensif di seluruh negara," katanya.

Terdahulu, naib pengurus besar Beijing Automotive Group Co Ltd dan BAIC Motor Corporation Ltd Chen Wei menerusi ucapannya pada majlis pelancaran tersebut berkata Asia Tenggara, khususnya Malaysia, memiliki pasaran automotif yang berkembang pesat dengan permintaan terhadap kenderaan pintar yang berkualiti semakin meningkat.

Beliau berkata dengan sistem pengeluaran automotif Malaysia yang matang dan minat pengguna yang semakin meningkat, BAIC secara strategik merintis sempadan baharu.

"BAIC komited untuk mengembangkan kehadiran kami dan mewujudkan rangkaian jualan dan perkhidmatan yang mantap untuk menawarkan pilihan yang pelbagai dan berkualiti tinggi kepada pengguna Malaysia," katanya.

Harga X55 bermula dalam lingkungan RM120,000 manakala BJ40 Plus sekitar RM180,000 dan kedua-dua model itu akan dipamerkan di BAIC Showroom, Wisma Consplant 2, mulai 17 hingga 19 Mei 2024.

-- BERNAMA