Gol saat akhir ranapkan impian Perak FC

Aksi perlawanan di antara Perak FC dan PDRM FC di Stadium Perak di Ipoh menyaksikan tuan rumah tewas 3-2. FOTO FACEBOOK PERAK FC
Aksi perlawanan di antara Perak FC dan PDRM FC di Stadium Perak di Ipoh menyaksikan tuan rumah tewas 3-2. FOTO FACEBOOK PERAK FC
A
A
A

IMPIAN seramai 11,647 penyokong Perak FC untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka mengutip mata pertama di laman sendiri berkecai apabila dikecewakan PDRM FC dengan jaringan minit akhir perlawanan dalam saingan Liga Super di Stadium Perak, di sini pada Sabtu.

Keputusan 3-2 itu sekali gus menyaksikan Perak FC gagal memperoleh sebarang mata dalam dua perlawanan Liga Super.

Minit awal perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah bermula garang dengan beberapa asakan ke kubu lawan.

Hasilnya, minit ke-4 cubaan kapten Perak FC, Luciano Guaycochea menguji Bryan See yang gagal mendakap kemas namun berjaya diselamatkan pertahanan PDRM FC.

Berselang dua minit kemudian, Tommy Mawat pula merembat ke arah pintu gol PDRM FC namun sedikit tersasar.

Namun tanpa perlu menunggu lama, pada minit ke-8 Tommy akhirnya berjaya menyumbat gol pertama perlawanan hasil umpanan Lee Tae-Min menjadikan kedudukan 1-0.

PDRM hampir dihadiahkan sepakan penalti selepas Ifedayo dijatuhkan di dalam kotak penalti namun semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlakunya faul lebih awal oleh pemain lawan ke atas Guaycochea.

Bagaimanapun, pada minit ke-24 Ifedayo menebus kekecewaan apabila menyamakan kedudukan menerusi tandukan menewaskan penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli sekali gus menyaksikan keputusan 1-1.

Artikel Berkaitan:

Pemain PDRM FC, Fakhrul Azim menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning perlawanan selepas mengasari pemain tuan rumah.

Tuan rumah berpeluang menambah jaringan menerusi sepakan penalti pada minit ke-31 selepas Fakhrul Azim menyentuh bola dengan tangan di dalam kotak penalti namun insiden tersebut dinafikan VAR.

Kedua-dua pasukan kemudiannya meningkatkan pemain apabila masing-masing mengatur gerak mencari gol.

Meskipun masa tambahan separuh masa pertama diberikan selama 11 minit, kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan sekaligus mengekalkan keputusan 1-1.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bermula garang apabila memulakan beberapa serangan ke atas gawang lawan pada minit awal permainan.

Minit ke-47 Firdaus Sayadi hampir menjaringkan gol buat Perak FC namun percubaannya berjaya dikeluarkan Bryan.

PDRM FC membuat pertukaran pertama mengeluarkan Fakrul Azim dengan diganti Eizrul Ashraf Nor Effendy.

Ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah seterusnya membuat tiga penggantian pemain sekaligus dengan memasukkan Wan Zack Haikal, Syukri Baharun dan Luka Milunovic pada minit ke-66.

Pelawat berjaya mendahului Perak FC menerusi jaringan Bruno Suzuki pada minit ke-72 hasil serangan balas pantas.

Pemain Perak FC, Tommy Mawat (kanan) meraikan jaringannya dalam perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan PDRM FC di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.FOTO FACEBOOK PERAK FC
Pemain Perak FC, Tommy Mawat (kanan) meraikan jaringannya dalam perlawanan Liga Super di antara Perak FC dan PDRM FC di Stadium Perak di Ipoh pada Sabtu.FOTO FACEBOOK PERAK FC

Perak FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Wan Zack selepas kesilapan dilakukan penjaga gol lawan sekaligus menjadikan keputusan berubah 2-2.

Ketika perlawanan hampir berakhir, Tae-Min kelihatan dijatuhkan pemain PDRM FC, Aliff Najmi di dalam kotak penalti.

Semakan VAR bagaimanapun mengesahkan insiden berkenaan berlaku di luar kotak penalti dan pengadil, Muhammad Munir Mohd Izam hanya menghadiahkan sepakan percuma kepada Perak FC.

Sebelum masa sebenar perlawanan berakhir, PDRM FC mengecewakan pasukan tuan rumah apabila penyerang mereka, Ifedayo menjaringkan gol kemenangan.

Tamat masa perlawanan menyaksikan PDRM FC mengutip tiga mata pertama perlawanan menewaskan Perak FC di Ipoh.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!