Kelantan warta garis panduan baharu sukan Muay Thai | Harian Metro
ZAMAKHSHARI berkata Muay Thai di Kelantan juga, antara sasaran penyumbang 22 pingat emas pada Sukma Sarawak 2024. FOTO Ihsan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan
ZAMAKHSHARI berkata Muay Thai di Kelantan juga, antara sasaran penyumbang 22 pingat emas pada Sukma Sarawak 2024. FOTO Ihsan Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan
BERNAMA

Kota Bharu: Kerajaan Kelantan sudah mewartakan garis panduan baharu berhubung sukan Muay Thai di negeri itu untuk diperkasakan dan dibangunkan semula bagi melahirkan atlet bertaraf dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata, penyusunan dan garis panduan itu, dilakukan kerana terdapat beberapa isu yang berlaku sebelum ini seperti faktor keselamatan dan sebagainya.

"Garis panduan baharu sudah diluluskan di peringkat exco negeri dan sudah diwartakan dua bulan lalu, jadi kita sedang tunggu peringkat akhir penyelarasan mengenai perkara ini dengan pihak polis pula, yang dijangka mendapat maklum balas dalam masa dua minggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Taekwon-do Tul dan Pertandingan Junior Matsogi Peringkat Kelantan 2024, di sini hari ini membabitkan 460 peserta.

Zamakhshari berkata sukan Muay Thai di Kelantan juga, antara sasaran penyumbang 22 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024, yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos.

"Sekarang ini semua atlet yang terbabit sudah melakukan persiapan masing-masing, dengan mengadakan latihan bersama-sama dengan jurulatih mereka di tempat yang dikhususkan, seperti sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT)," katanya.

Muay Thai disenarai oleh tuan rumah, Sarawak sebagai antara empat jenis sukan tambahan selain tinju, petanque dan e-sukan bagi temasya SUKMA 2024, di samping 28 sukan wajib lain.

Sementara itu, Zamakhshari berkata, pihaknya akan membaik pulih sistem perparitan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini tidak lama lagi, selepas mendapat peruntukan berjumlah RM500,000 dari Kementerian Belia dan Sukan.

"Kita akan lakukan semasa season break perlawanan bola sepak Liga Malaysia dan jangka siap sebelum musim tengkujuh dan selepas itu mungkin kita akan fokuskan pula mengenai rumput padang dan papan pemarkahan di stadium berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 7:05 PM