Sarawak kaji naikkan gaji penjawat awam negeri | Nasional | Berita HarianSarawak kaji naikkan gaji penjawat awam negeri | Berita Harian
Rabu, 15 Mei 2024 | 5:12pm
Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Datuk Seri Wong Soon Koh, tiba pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Hari ke-Lapan Dewan Undangan Sarawak Ke-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Datuk Seri Wong Soon Koh, tiba pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Hari ke-Lapan Dewan Undangan Sarawak Ke-19 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak, Petra Jaya Kuching - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Sarawak kaji naikkan gaji penjawat awam negeri

KUCHING : Kajian terperinci sedang dijalankan untuk menaikkan gaji penjawat awam di Sarawak.

Ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kenaikan gaji melebihi 13 peratus untuk penjawat awam Persekutuan, mulai Disember ini.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, kajian itu perlu dilakukan agar kenaikan gaji lebih kompetitif selaras dengan tugas dan tanggungjawab penjawat awam Sarawak serta kekuatan kewangan kerajaan Sarawak.

"Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu dan akan turut melaksanakan pelarasan gaji untuk penjawat awam Sarawak.

"Ini kerana kerajaan GPS sangat menghargai komitmen dan pengorbanan seluruh penjawat awam Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.

"Insya-Allah, saya akan mengumumkan hasil kajian pelarasan gaji penjawat awam negeri dalam tempoh terdekat.

"Bagaimanapun ia tertakluk kepada perincian pelarasan gaji yang akan dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan yang dijangka diketahui hanya dalam Bajet Persekutuan hujung tahun ini," katanya.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 peringkat kebangsaan 1 Mei lalu, Anwar mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.

Beliau berkata, kenaikan itu yang tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara membabitkan peruntukan lebih RM10 bilion.