STU, CUEPACS tuntut kerajaan beri gaji berpatutan | Utusan Borneo Online

Anda di sini

STU, CUEPACS tuntut kerajaan beri gaji berpatutan

Advertisement

STU dan CUEPACS sentiasa berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam bagi tujuan itu: Kullin

Kullin (barisan belakang, sembilan kanan) merakam kenangan bersama bekas ahli dan bekas AJK, STU Limbang pada Majlis Apresiasi baru-baru ini.
Kullin (barisan belakang, sembilan kanan) merakam kenangan bersama bekas ahli dan bekas AJK, STU Limbang pada Majlis Apresiasi baru-baru ini.

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) mengambil peranan aktif bersama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dalam menuntut kerajaan memberi kadar gaji berpatutan selari dengan kos sara hidup di negara ini.

Presidennya Kullin Djayang berkata, STU dan CUEPACS sentiasa berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tujuan itu.

"Kami sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Dato Dr Adnan Mat, Presiden CUEPACS untuk terus berusaha mengadakan perbincangan dengan JPA dalam menuntut peningkatan elaun, Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) untuk semua penjawat awam serta tidak dilupakan juga para pesara.

"Namun begitu semua kita harus faham, tidak semua tuntutan akan ditunaikan oleh kerajaan, segala usul akan dipertimbangkan berdasarkan kemampuan kerajaan yang memerintah," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi anjuran STU Bahagian Limbang di Dewan Bunga Raya Limbang, baru-baru ini.

Kullin berkata sebagai kesatuan yang mewakili warga pendidikan di Sarawak khasnya, perjuangan STU adalah membantu memperbaiki skim perkhidmatan guru seperti kenaikan gred, gaji, elaun, cuti rehat khas dan cuti tanpa rekod.

Menurutnya hasil perjuangan ini, skim itu telah dipertingkatkan dan diperluaskan penggunaannya bagi memenuhi keperluan para guru.

"STU sentiasa menghargai sertiap ahli dan bekerja keras menjaga kebajikan mereka serta memastikan semua mendapat manfaat yang sebaik mungkin daripada kesatuan.

"Ini dilakukan menerusi  pelbagai insentif, kebajikan ahli seperti khairat kematian, hadiah persaraan, khidmat nasihat guaman, Marchant Partner, pingat jasa dan pingat setia serta pelbagai skim insurans yang sangat berbaloi untuk dibeli bagi seisi keluarga," ujarnya.

Justeru beliau menggesa agar para guru di negara ini menyertai STU agar semua guru dapat sama-sama menyumbang untuk kesatuan bergerak.

Kullin turut menyelar segelintir pihak yang sering mempertikai usaha kesatuan guru dalam menjaga kebajikan para guru. 

"Mana mungkin pihak lain lebih mengetahui sumbangan kesatuan selain daripada para pemimpin kesatuan guru itu sendiri.

"Skim Guru (DG) kini sudah berada di landasan yang baik hasil usaha semua kesatuan guru dalam perbincangan dengan kerajaan," tegasnya sambil mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak lagi mempersendakan kemampuan semua kesatuan guru dalam media sosial.

Pada majlis itu kira-kira 40 ahli STU yang telah bersara dan semua bekas ahli jawatankuasa STU Limbang dianugerahkan Pingat Jasa Bakti dan Pingat Keahlian Setia daripada kesatuan itu, disampaikan oleh Kullin sendiri.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Presiden STU Lungan Ding, Pengerusi STU Bahagian Limbang  Albinus Arbut, Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Mat Zinan Wahit dan Pengerusi Majlis Pengetua dan Guru Besar Daerah Limbang Julkipli Tangah serta ketua-ketua masyarakat daerah Limbang.

  • oleh
  • Advertisement