Sekolah Bakal Nikmati Pakej Internet Lebih Murah Bermula Awal Januari

Sekolah Bakal Nikmati Pakej Internet Lebih Murah Bermula Awal Januari

0
SHARE
Fahmi
Fahmi (duduk,tengah) bergambar bersama penduduk kampung ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SEMPORNA, SABAH – Sekolah-sekolah di negara ini bakal menikmati pakej internet lebih murah bermula 1 Julai 2024.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pakej khas tersebut menawarkan internet berkelajuan tinggi lebih stabil berbanding talian mudah alih dengan harga lebih murah yang tersedia untuk langganan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Kerajaan telah menyediakan pakej langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk dilanggan oleh sekolah-sekolah seluruh negara di bawah KPM bermula 1 Julai 2024.

“Pakej khas melalui pelaksanaan projek Point Of Presence (PoP) ini menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil berbanding talian mudah alih dengan harga yang lebih murah.

“Infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi telah dikenal pasti sebagai komponen yang penting bagi menyokong institusi perkhidmatan kerajaan dan pendidikan,” katanya semasa berucap dalam program Tinjauan Projek PoP Zon Sabah di SK Balimbang.

Fahmi turut memaklumkan melalui projek PoP, sekolah luar bandar dan pedalaman seperti SK Balimbang dijadikan hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik bagi membolehkan komuniti sekitar menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.

“Sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi ini akan dapat meningkatkan proses pembelajaran di sekolah dengan lebih efektif melalui capaian kepada maklumat dan sumber rujukan yang luas bagi membolehkan ilmu pengetahuan lebih mudah dikongsi serta dipraktikkan.

“Selain itu, inisiatif ini juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi digital bagi masyarakat luar bandar.

“Pelbagai urusan termasuk perniagaan di rumah secara dalam talian boleh dilaksanakan dengan adanya capaian rangkaian internet yang lebih stabil, berkualiti dan menyeluruh.

“Kelajuan perkhidmatan internet yang disediakan akan menjadi penanda aras bagi penggunaan teknologi moden yang berkaitan dengan infrastruktur dan utiliti, contohnya Internet of Things (IoT), Artificial Intelligence (AI), Smart Grid, Smart Water yang dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Jika dahulu, pulau-pulau di Malaysia masih lagi dikategorikan sebagai kawasan terpencil dan sukar untuk berhubung tetapi kini menerusi inisiatif daripada kerajaan serta perkembangan teknologi terkini, terdapat beberapa pilihan bagi menghubungkan talian tetap antara pulau dengan daratan.

“Saya berharap agar infrastruktur telekomunikasi yang disediakan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh rakyat khususnya di negeri Sabah untuk meningkatkan taraf hidup, melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Naib Presiden Eksekutif TM One Shazurawati Abd Karim. — JABATAN PENERANGAN SABAH