Jangan jadikan kelemahan perkhidmatan awam peluang raih populariti - Cuepacs - Kosmo Digital

Jangan jadikan kelemahan perkhidmatan awam peluang raih populariti – Cuepacs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adnan Mat

PETALING JAYA – Pemimpin kerajaan dan penjawat awam perlu bertindak sebagai satu pasukan dan tidak menjadikan kelemahan perkhidmatan untuk meraih populariti.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, beliau yakin penjawat awam bersedia menerima teguran dalam menyelesaikan permasalah yang timbul demi kebaikan semua pihak.

Bagaimanapun, menurutnya, tindakan merakam dan memuat naik permasalahan yang timbul bukanlah tindakan yang tepat dan sesuai apatah lagi sekiranya ia dilakukan oleh pemimpin daripada kerajaan.

“Jika terdapat kelemahan dalam mutu perkhidmatan, tegur dan nasihatlah secara berhadapan. Ia suatu perkara yang wajar dan boleh diterima.

“Tidak perlu sesuatu teguran itu disusuli dengan rakaman yang kemudiannya dimuat naik ke dalam media sosial hanya semata-mata untuk memberi makluman bahawa kita sudah membuat kerja dengan baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular satu video dimuat naik oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr. Akmal Saleh ‘mengamuk’ berhubung isu ketiadaan kerusi dan meja di sebuah sekolah agama di Melaka.

Keesokan harinya, Akmal memuat naik satu lagi video memaparkan beliau berjaya menyelesaikan masalah tersebut dengan menyediakan sebanyak 36 kerusi dan meja kepada sekolah terbabit dalam tempoh 24 jam.

Dalam pada itu, Adnan berkata, pemimpin kerajaan boleh membuat teguran secara berhemah melalui saluran yang betul dalam mencari solusi persefahaman yang terbaik.

“Tdak perlulah menjadikan semua perkara sebagai bahan kandungan media sosial yang akhirnya memburukkan lagi keadaan.

“Justeru, Cuepacs berharap semua pihak tidak menjadikan sedikit kelemahan itu sebagai peluang untuk meraih populariti tetapi bersama-sama menyelesaikan masalah yang timbul,” jelasnya.

Tambahnya, Adnan menyeru semua penjawat awam sentiasa meletakkan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebagai keutamaan yang tertinggi.

“Rakyat sentiasa menilai setiap perkara dan tetaplah berkhidmat demi kepentingan rakyat dan negara sebagai suatu keutamaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI