BERNAMA Radio - ZAINAL RAHIM DILANTIK PENGERUSI MAJLIS PERUNDINGAN GAJI NEGARA
 AM

ZAINAL RAHIM DILANTIK PENGERUSI MAJLIS PERUNDINGAN GAJI NEGARA

18/05/2024 11:46 AM

PUTRAJAYA, 18 Mei (Bernama) -- Bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Tan Sri Zainal Rahim Seman dilantik sebagai Pengerusi Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bagi tempoh 1 Mei 2024 sehingga 30 Sept 2026. 

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan memaklumkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong menyerahkan surat pelantikan yang dibuat berdasarkan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] di pejabatnya di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, Zainal Rahim pernah memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan pernah menjadi Ketua Ketiausaha (KSU) KESUMA bagi tempoh 2012 hingga 2014.

“Semasa bertugas sebagai KSU KESUMA, beliau merupakan tulang belakang di sebalik pengenalan penetapan gaji minimum di negara ini. 

“Pengalaman, pengetahuan dan kepakaran beliau berkenaan ekosistem pasaran buruh khususnya melibatkan dasar gaji mampu memberi nilai tambah kepada MPGN,” menurut kenyataan itu.

MPGN berfungsi dalam membincangkan isu-isu berkenaan gaji melalui perundingan yang berteraskan konsep tripartite dengan penglibatan aktif wakil kerajaan, pekerja dan majikan. 

KESUMA memaklumkan pada masa kini, Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara telah selesai menjalankan kajian semula Perintah Gaji Minimum 2022. 

“Kajian ini akan dibincangkan dan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat MPGN yang akan datang. 

“Pelantikan ini diharap dapat memperkasakan MPGN dalam melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA