Alyah tunai haji tanpa Ramli MS, tarik diri ‘The Hardest Singing Show’ kerana perlu buat banyak persiapan - Hiburan | mStar
suria

Alyah tunai haji tanpa Ramli MS, tarik diri ‘The Hardest Singing Show’ kerana perlu buat banyak persiapan

Alyah bakal berangkat menunaikan haji pada Jun ini.

BAKAL menunaikan ibadah haji tanpa ditemani Datuk Ramli MS, penyanyi Alyah memberitahu suaminya itu tidak dapat mengikutinya kerana perlu menjaga ibu yang kurang sihat.

Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan, 43, bagaimanapun berkata dia tetap bersemangat menyempurnakan rukun Islam kelima itu dan tidak menyangka hasratnya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci bakal tercapai.

"Saya selalu cakap dah banyak kali pergi umrah dan niat saya nak menunaikan haji ketika saya masih muda dan larat.

Alyah sudah lama menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah haji.

"Alhamdulillah niat saya pada tahun lalu Allah izinkan. Saya tidak pergi bersama suami kerana dia (Ramli) sudah pun menunaikan haji, lagi pun dia perlu menjaga rumah dan dalam waktu sama ibunya tidak begitu sihat," katanya.

Alyah berkongsi perkara itu ketika ditemu bual bersama radio Zayan FM pada pagi Isnin.

Dalam pada itu, Alyah mendedahkan dia sudah lama merancang ingin menarik diri daripada program realiti The Hardest Singing namun diminta untuk meneruskan mpersembahan pada minggu pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat panggilan tunaikan haji, Alyah umum tarik diri program 'The Hardest Singing Show'

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tiada kata-kata perangsang buat Alyah, kehadiran Ramli MS sudah cukup istimewa - "Dia pesan jangan mengadu penat"

"Sebenarnya saya memang nak tarik diri daripada awal lagi tetapi pada waktu itu saya tidak mahu memaklumkan perkara tersebut.

"Saya tidak mahu maklumkan terlebih dahulu kerana tak nak terlalu yakin sangat. Namun saya sudah beritahu kepada pihak Astro dan mereka minta untuk saya buat persembahan pada minggu pertama," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, penyanyi lagu Kasih Hati itu memaklumkan dia akan berangkat ke Tanah Suci pada 12 Jun ini.

Justeru itu, dia perlu mempersiapkan diri sebelum memulakan ibadah berkenaan.

"Banyak benda saya perlu belajar kerana ibadah ini yang paling saya tunggu-tunggu.

"InsyaAllah saya akan berangkat pada 12 Jun tapi sebab saya ini orang yang banyak naifnya jadi saya kena belajar banyak perkara," ujarnya.

Alyah terpaksa menarik diri daripada The Hardest Singing Show.

Alyah terpaksa menarik diri daripada The Hardest Singing Show.

Pada malam Ahad, Alyah mengumumkan penarikan diri daripada menyertai pertandingan The Hardest Singing Show selepas dia mendapat panggilan menunaikan haji pada Jun depan.

Penyanyi tersebut memohon maaf kepada semua tenaga pekerja program realiti tersebut kerana terpaksa mengundur diri.

Alyah turut memohon doa orang ramai supaya dia diberi kesihatan dan mendapat haji mabrur.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain