Akaun 3 KWSP, kenaikan gaji penjawat awam jadi penyumbang utama pengukuhan perbelanjaan domestik - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Akaun 3 KWSP, kenaikan gaji penjawat awam jadi penyumbang utama pengukuhan perbelanjaan domestik - Kenanga Research

KNK dijangka berkembang seperti diunjurkan dengan kenaikan gaji penjawat awam dan Akaun 3 KWSP jadi penyumbang kepada permntaan domestik yang kukuh. -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengenalan Akaun 3 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membenarkan pengeluaran fleksibel dan peningkatan gaji penjawat awam pada bulan Disember bakal menjadi antara penyumbang utama kepada permintaan domestik yang kukuh.

 

Kenanga Research berkata, ini sekali gus akan mendorong kepada pertumbuhan positif Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun ini seperti mana diunjurkan kerajaan pada 4% hingga 5%.

 

"Kami mengekalkan pandangan positif terhadap pertumbuhan KDNK tahun ini, dalam unjuran Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak 4% - 5%. 

 

"Pandangan ini disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam sektor perkhidmatan, didorong oleh permintaan domestik yang tegar," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat pertumbuhan 4.2% pada suku pertama 2024, terus didorong oleh perbelanjaan swasta

 

Selain itu, kata Kenanga Research, inisiatif tunai daripada kerajaan yang dikenali sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga akan mengukuhkan lagi permintaan domestik.

 

"Tambahan pula, peningkatan dalam ketibaan pelancong dan pasaran buruh yang sihat, dengan kadar pengangguran diunjurkan meningkat kepada 3.2% (2023: 3.4%) akan menyokong unjuran pertumbuhan dengan ketara," jelasnya. 

 

Walau bagaimanapun, kata Kenanga Research, risiko geopolitik akan mendominasi naratif makro dan berpotensi mengganggu momentum pertumbuhan. 

 

Katanya, perdagangan global yang lebih lemah daripada yang dijangka dan ketegangan perdagangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dan China, terutamanya selepas pengumuman kenaikan tarif yang baru-baru ini boleh menghalang pertumbuhan ekonomi global. 

 

"Situasi ini diburukkan oleh konflik yang sedang berlangsung di Ukraine dan perang Israel-Gaza yang berterusan, yang boleh memberi kesan negatif kepada aktiviti perdagangan global disebabkan oleh pengalihan laluan penghantaran laut.

 

"Sementara itu, dasar monetari yang ketat yang diterapkan oleh kebanyakan ekonomi maju menimbulkan risiko negatif kepada Malaysia, dengan risiko potensi kemerosotan ekonomi global," katanya.

 

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu juga percaya dasar monetari semasa akan kekal tidak berubah untuk sepanjang tahun ini kerana ia dianggap sesuai untuk mengawal inflasi dan menyokong pertumbuhan domestik. 

 

"Pandangan inflasi utama menunjukkan peningkatan sederhana (KIBB: 2.7%; 2023: 2.5%) disebabkan oleh penyesuaian subsidi yang dijangka secara berperingkat pada separuh kedua tahun 2024. 

 

"Ini mungkin meningkatkan tekanan harga, tetapi kesannya sepatutnya dapat diuruskan, dengan ptensi peningkatan bekalan dapat diimbangi oleh penurunan permintaan dalam situasi harga yang lebih tinggi," ujarnya.- DagangNews.com