Gandingan double negara mudah benam Jepun | Harian Metro
AIDIL AIMAN (kiri) bersedia melakukan servis ketika menentang Jepun, hari ini. FOTO FB PSM
AIDIL AIMAN (kiri) bersedia melakukan servis ketika menentang Jepun, hari ini. FOTO FB PSM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia tiada masalah menewaskan Jepun dalam acara double peringkat Kumpulan A Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Malaysia yang diwakili Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Zawawi menceriakan penonton yang hadir ke stadium dengan kemenangan straight set 15-9, 15-3.

Aidil Aiman mengakui bersyukur selepas memperoleh kemenangan pertama biarpun dia pada awal perlawanan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rentak permainan.

Menurutnya, dia dan Noraizat dapat mempertingkatkan lagi dari segi corak pertahanan kerana sistem baharu ini tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah.

"Ini bukan terlalu mudah tetapi dengan hasil latihan yang cukup, Insya-Allah ada hasil dia (kemenangan). Saya tadi pun di set pertama pada awalnya masih tercari-cari rentak sementara Noraizat sudah mendapatkannya.

"Bagi sistem baharu 15 mata dan satu servis ini, pertahanan kita perlu kuat sebab masa permainan amat pantas dan tidak lama.

"Bagi saya belum dapat prestasi sebenar dan esok kami akan buat lebih baik dari hari ini," katanya.

Jepun turun dalam perlawanan kedua hari ini wajib menang ke atas Malaysia, namun gandingan Ryota Haruhara dan Yuki Sato terpaksa akur dengan kehebatan skuad negara.

Untuk perlawanan kedua, pasukan negara akan menentang Brunei pada 9.30 malam esok dan sekiranya menang, Malaysia muncul juara kumpulan dan bakal bertemu naib johan Kumpulan D sama ada Korea Selatan atau Singapura di suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 7:54 PM