Regu negara mudah benam Brunei | Lain-lain (Sukan) | Berita HarianRegu negara mudah benam Brunei | Berita Harian
Ahad, 19 Mei 2024 | 10:02pm
Regu negara layak ke suku akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. - BERNAMA
Regu negara layak ke suku akhir Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa. - BERNAMA

Regu negara mudah benam Brunei

KUALA LUMPUR: Skuad Malaysia berjaya muncul juara Kumpulan B 'tanpa bermandi peluh' dalam acara regu Piala Dunia 2024 sekali gus menempah tempat ke suku akhir seperti dijangkakan.

Pada perlawanan kedua tadi yang berlangsung dengan sorakan padu daripada penyokong di Stadium Titiwangsa, Malaysia mudah mengatasi Brunei 15-7, 15-7 sekali gus melakar rekod kemenangan bersih selepas menewaskan China, semalam.

"Bagi saya masing-masing belum dapat prestasi terbaik lagi, daripada segi balingan, servis, pukulan... semuanya belum capai tahap maksimum lagi. Jadi kami kena cari lagi dalam perlawanan akan datang, harap dapat masuk final dan menunjukkan prestasi lebih baik lagi.

"Bermain selaku tuan rumah itu, memang ada tekanan namun kami tetap kena berjaga-jaga. Walaupun bertemu Brunei, China yang bagi saya sedang meningkat naik tetapi itu bukan alasan untuk kami leka," kata tekong berpengalaman negara, Syahir Rosdi kepada media.

Skuad negara dijadual bertemu naib juara Kumpulan C sama ada Singapura, Korea Selatan atau Filipina untuk aksi suku akhir regu dan ketika ditanya sama ada Malaysia sudah bertemu 'lawan sebenar' sehingga setakat ini, Syahir berkata, misi pasukan adalah untuk bertemu jaguh sebenar, Thailand di perlawanan akhir.

"Untuk perlawanan seterusnya, kita akan tengok siapa lawan kita. Dalam persiapan pasukan, kita memang nak lawan dengan Thailand dan untuk perlawanan seterusnya kita memang sentiasa bersiap siaga untuk lawan Thailand, jadi setiap kelemahan itu harus diperbaiki dari semasa ke semasa," kata Syahir yang dalam pada itu mengakui sorakan penonton nyata memberi impak kepada prestasi pasukan.

"Memang ada impak sebab kami sudah lama tak bermain dalam keadaan, sorakan seperti ini. Kali terakhir di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 iaitu kira-kira tujuh tahun lalu," katanya.