Ab Rauf Tegaskan Kecekapan, Ketelusan Tadbir Urus Jadi Tanda Aras Pengurusan Organisasi

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh agensi di bawah kerajaan negeri bagi meningkatkan prestasi dan kecekapan.

Ujar Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka, ini sekaligus menjadikan kecekapan dan ketelusan tadbir urus sebagai ‘bench mark’ atau tanda aras kepada pengurusan organisasi.

“Ini termasuklah, penambahbaikan dalam aspek pengurusan sumber manusia; pemupukan nilai dan etika yang cemerlang; menggalakkan budaya pembelajaran berterusan dalam perkhidmatan; memperkukuh kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan; kekerapan pemantauan prestasi perkhidmatan pegawai; dan aspek penilaian terhadap ketelusan pengurusan.

“Saya tidak mahu adanya karenah birokrasi dalam ‘delivery system’ kepada rakyat. Maka, saya mahu sentiasa cakna bahawa maklumat yang disampaikan adalah tepat dan sahih bagi mengelakkan kemarahan rakyat kepada perkhidmatan kerajaan,” kata Ab Rauf dalam satu hantaran di Facebook.

Perkara demikian ditimbulkan ketika beliau bertemu dengan lebih 500 warga kerja Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sempena Majlis Amanat Khas di MITC, Ayer Keroh, Melaka pagi tadi.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Melaka yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil; dan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Datuk Rahmad Mariman.

Selanjutnya, Ab Rauf juga mencadangkan supaya mengadakan sesi retreat oleh MAIM dan JAIM.

“…bagi mencambahkan idea-idea baharu dan sentiasa melakukan penambahbaikan demi mencapai keberhasilan dan nilai tambah kepada kompetensi diri. Usah duduk cara lama, buat pembaharuan.

“Dalam kita hendak menguruskan masyarakat tanpa ada perbezaan fahaman politik, jangan jadikan rakyat sebagai mangsa. Kita perlu bertanggungjawab dalam menyempurnakan kelestarian kehidupan,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.